SELAIN melakukan tetapan sproket seperti dijelaskan panjang lebar dalam #BikinMotorLaju [SIRI 1], penunggang juga boleh menukar tayar asal kepada jenis berprestasi tinggi sebagai modifikasi asas untuk menjadikan motosikal anda lebih pantas.

Pemilihan Tayar Prestasi Tinggi

Saiz rim lebar yang didatangkan pada kapcai premium pilihan ramai, seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R sedikit sebanyak mempengaruhi penunggangnya menyarungkan set tayar prestasi tinggi kegunaan superbike yang lebih lebar, lebih bergaya dan semestinya lebih mahal.

Alasannya mudah, jika tayar itu sesuai untuk motosikal berkuasa tinggi, sudah tentu juga sesuai untuk kapcai berkuasa tinggi, sekali gus membolehkan mereka memecut lebih pantas dan melayan selekoh hingga mencecah lutut.

Memang benar, tayar motosikal berkuasa tinggi semestinya memberikan prestasi lebih baik berbanding tayar biasa. Namun, disebabkan tayar berkenaan direka untuk tujuan tertentu, sebaiknya pemilihan tayar dibuat dengan mengambil kira paten tunggangan terlebih dahulu.

Contohnya, penunggang yang berulang alik ke tempat kerja setiap hari perlu menumpukan kepada aspek:

  • Ketahanan
  • Jangka hayat
  • Tahap cengkaman (jalan kering dan basah)

Semua aspek di atas ini adalah bagi menyesuaikan situasi tunggangan dengan kondisi cuaca yang tidak menentu.

Buat penunggang hujung minggu (kerana memandu ketika hari bekerja atau naik pengangkutan awam), pemilihan tayar adalah lebih fleksibel tanpa perlu menitik beratkan tahap cengkaman atas jalan basah, termasuk jangka hayat tayar. Tetapi, mereka masih perlu mengambil kira perihal harga supaya pembelian tidak terlalu membazir.

Semua situasi berikut memerlukan pemilihan tayar yang boleh dibezakan melalui material kompaun dan kategori seperti berikut:

1. KOMPAUN TAYAR (COMPOUND)

Material tayar yang anda gunakan bukanlah 100 peratus daripada getah, sebaliknya terdiri daripada sebatian (compound) getah dan bahan kimia lain yang mampu memberikan kadar kekenyalan berbeza. Kadar kekenyalan itu menentukan tahap kehausan dan harga, di mana tayar kompaun lembut lebih cepat haus dan berharga mahal.

Memandangkan panduan ini menumpukan kepada faktor kelajuan dan ekonomi, pemilihan kompaun paling sesuai adalah daripada jenis tayar medium. Walaupun lebih lembut berbanding tayar getah biasa, tetapi masih mempunyai jangka hayat sekitar 8,000-12,000km bergantung jenis motosikal dan paten tunggangan.

Jika lebih berkemampuan, anda boleh memilih tayar dwi-kompaun yang mana kompaun medium digunakan pada tengah tayar untuk ketahanan, manakala kompaun lembut pada sisi tayar untuk memberikan cengkaman ketika mengambil selekoh.

2. KATEGORI TAYAR

Pemilihan kompaun turut ada kaitan dengan kategori tayar, dan pilihan utama terdiri daripada jenis Sport dan Sport Touring:

  • Sport Touring – Diperbuat daripada material kompaun medium. Tayar dalam kategori ini boleh dianggap mampu milik, tetapi boleh juga didapati dengan material dwi-kompaun. Selain menawarkan tahap cengkaman tinggi dalam keadaan kering, rekaan paten alur atau groove pada tayar Sport Touring direka untuk menyisihkan air lebih cepat, sekali gus memberikan cengkaman tinggi pada permukaan basah juga. Tayar jenis ini sesuai untuk tunggangan harian.

  • Sport Diperbuat daripada material dwi-kompaun yang mana luas bunga tayar (tread) besar memberikan cengkaman tinggi atas permukaan kering baik sama ada di jalan lurus atau selekoh. Paten alur pendek pula, walaupun kurang efektik untuk mencengkam jalan basah, berfungsi sebagai ruang fleksibiliti yang membolehkan jejak tayar berubah bentuk mengikut kondisi permukaan jalan. Tayar jenis ini sesuai untuk tunggangan santai pada hujung minggu.

Kepada penunggang yang mahu masuk trek atau track-day, jangan terlalu gelojoh mahu mendapatkan tayar spesifikasi perlumbaan atau jenis slik yang lebih mahal. Ini kerana tayar Sport dan Sport Touring juga masih mempunyai kemampuan dan kualiti yang cukup untuk tunggangan dalam litar, melainkan skil tunggangan anda sudah di tahap pelumba sebenar.

Sesetengah tayar Sport Touring turut didatangkan dalam versi hujan; memberikan cengkaman yang lebih cemerlang berbanding tayar biasa. Bukanlah bermakna dengan menggunakan tayar ini anda masih dapat mengambil selekoh pada sudut ekstrem walaupun semasa hujan lebat tetapi penggunaannya lebih-lebih lagi semasa musim tengkujuh setiap hujung tahun sebagai contoh sedikit sebanyak meningkatkan lagi keyakinan tunggangan anda.

Masih sukar buat pilihan? Sesetengah pengeluar tayar turut memaparkan klasifikasi dan rating tayar di laman web rasmi bagi memudahkan pengguna seperti anda menilai jenis tayar yang sesuai untuk kegunaan dan kehendak peribadi selain kesesuaian penggunaan mengikut cuaca. Berikut ialah maklumat seperti ditunjukkan laman web Michelin seperti di bawah ini:

3. PEMILIHAN SAIZ TAYAR

Sama seperti pemilihan jenis tayar di atas, kehadiran jentera berprestasi tinggi memang menjadikan populariti tayar lebar semakin meningkat di kalangan penunggang kapcai berkuasa tinggi. Tidak dinafikan tayar lebar mampu memberikan cengkaman tinggi, tetapi ramai tersalah anggap bahawa sesebuah motosikal memerlukan tayar yang lebih lebar berbanding saiz asal jika mahu mendapatkan lebih cengkaman di selekoh.

Faktanya, saiz dan lebar tayar asal sebenarnya sudah mencukupi kerana pengeluar terlebih dahulu mengambil kira tahap kuasa dihasilkan sesebuah motosikal. Ini termasuk mempertimbangkan skil tunggangan majoriti bakal pemilik bagi mendapatkan padanan saiz rim dan tayar yang sesuai.

Sebaik-baiknya, tukar dahulu tayar asal kepada tayar prestasi tinggi mengikut saiz asal sebelum memikirkan apakah anda sudah cukup menguasai skil tunggangan yang memerlukan saiz tayar lebih lebar?

Caranya, perhatikan lebar kawasan jejak atau bekas geseran jalan yang berbaki pada tayar motosikal anda (foto atas kiri), juga digelar ‘chicken strips’, iaitu istilah khas yang ditujukan kepada penunggang yang kurang berani (chicken = ayam) melayan ‘corner baring’. Di bawah ialah contoh chicken strips yang berpunca daripada kombinasi tayar lebar dan skil tunggangan kurang mantap.

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ  yang diutarakan melalui Tajuk " Pilih Tayar berprestasi tinggi untuk motosikal " di lamanĀ  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

By mrzahz

0Shares