[UPDATE] DOWN MEMORY LANE: KISAH KOPERAL JAMAL BERSAMA ANAK BERUANG BERNAMA BUJANG
Sumber FB PDRM
Terima kasih diucapkan kepada Saudara Tun Kamalul Zaman atas perkongsian kisah menarik arwah bapanya, Koperal Abdul Jamal yang pernah berkhidmat sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), suatu ketika dahulu.
Menurut Saudara Tun, bapanya telah diarahkan bertugas di satu kawasan hutan di negeri Sarawak bagi menjaga sempadan negara daripada dicerobohi Tentera Nasional Indonesia (TNI) semasa berlakunya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, sekitar awal tahun 1960-an.
Satu hari, ketika beliau dan rakan-rakan platun sedang melakukan rondaan rutin di kawasan hutan tersebut, mereka terserempak dengan bangkai seekor beruang matahari betina yang dipercayai ditembak oleh anggota TNI.
Tembakan daripada pihak musuh itu jelas, berdasarkan sejumlah kelongsong peluru dari senapang rifle yang bertaburan berhampiran bangkai haiwan tersebut.
Selepas memastikan keadaan sekitar selamat, Koperal Jamal dan rakan-rakan terus mendekati bangkai haiwan berkenaan dan menemui seekor anak beruang yang masih kecil, sedang menyusu ibunya tanpa menyedari ia tidak lagi bernyawa.

Atas rasa simpati dan yakin anak beruang itu tidak akan dapat hidup lama jika dibiarkan bersendirian, Koperal Jamal mengambil keputusan untuk menjaganya. Beliau mengosongkan beg senjata yang dipikul dan meletakkan anak beruang itu dengan penuh berhati-hati sebelum membawanya pulang ke markas.
Dengan bekalan makanan mencukupi di markas, anak beruang yang diberi nama Bujang itu dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Koperal Jamal dan rakan-rakannya. Ia turut merasakan Koperal Jamal sebagai ibu kandung dan sentiasa berada di sisi beliau.
Selama tiga tahun dalam jagaan, Bujang telah diberikan campuran susu tepung, air, madu dan gula yang menjadi kegemarannya sehingga ia membesar dengan sihat. Bujang turut dianggap sebagai maskot PPH oleh para pegawai dan anggota di situ.
Selepas tamatnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, Koperal Jamal dan rakan-rakan sepasukan diarah untuk kembali semula ke pangkalan di Ulu Kinta, Perak.
Bermula Kisah Sebak meninggalkan BUJANG bersendirian di hutan
Koperal Jamal telah bercadang untuk membawa pulang ‘anak angkat’nya itu bersama namun malangnya, undang-undang negeri tidak membenarkan mana-mana hidupan liar dibawa keluar dari hutan tersebut.
Bujang seakan-akan terpinga apabila melihat Koperal Jamal dan rakan-rakan sibuk membuka khemah serta mengemas peralatan ke dalam trak polis yang telah sedia menanti.
Kerana sayangnya kepada Bujang, Koperal Jamal sempat membersih, memberus bulu dan memberikan makanan dan minuman buat kali terakhir kepada Bujang.
Setiap pegawai dan anggota di situ turut memeluk Bujang dengan hati yang sebak sebelum mereka menaiki trak untuk keluar dari hutan tersebut.
Seakan memahami dirinya akan ditinggalkan, Bujang merintih apabila dipeluk oleh Koperal Jamal yang nyata turut menangisi saat perpisahan itu.
Semasa trak mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan lokasi, Bujang telah mengejar buat beberapa ketika sambil merintih.
Mungkin kerana kepenatan, Bujang berhenti mengejar dan hanya mampu melihat trak itu berlalu pergi. Pandangan mata terakhir yang sayu oleh Bujang begitu merobek hati Koperal Jamal.
Sehingga ke akhir hayatnya, Koperal Jamal sentiasa terkenang mengenai Bujang dan menyatakan haiwan tersebut merupakan sumber kekuatan dan inspirasi buat dirinya.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Kisah Sebak Dada 60 Tahun Dahulu KOPERAL JAMAL BERSAMA ANAK BERUANG BERNAMA BUJANG " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.
Apa terjadi pada Bujang akhirnya. Adakah sesiapa yang cuba ambil tahu?
Wallahualam ..akan saya updatekan jika mendapat info baru. Bagaimana Bujang meneruskan kehidupannya bersendirian itu menjadi lebih sebak memikirkannya.