Kuala Lumpur: Hanya kerana tidak puas hati dengan prestasi kerja, suami isteri dipercayai mendera pembantu rumahnya sehingga mangsa cedera di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya bersama sepasukan anggota dari Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman membuat pemeriksaan di rumah pasangan itu di Taman Batu Jinjang, di sini, pada 3 petang, semalam.
“Dalam serbuan itu, kami menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah selepas dipercayai didera majikannya.
“Ketika ditemui, mangsa didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai akibat didera.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 42 tahun serta isterinya, 41, selain merampas pisau, gunting, kerusi serta periuk yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beh berkata, siasatan awal mendapati mangsa bekerja di rumah suspek sejak 13 bulan lalu dan majikan terbabit dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi kerja pembantu rumahnya.
Beliau berkata, selain didera, mangsa turut tidak dibayar gaji dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007 dan orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan kekerasan terhadap pekerja mereka sehingga mendatangkan kecederaan.
“Jika tidak berpuas hati dengan prestasi kerja mereka, majikan boleh beri nasihat dan jangan menggunakan kekerasan hingga melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:51 PM
Oleh: Nurul Hidayah Bahaudin
Gambar: Media sosial
#HarianMetro
#infosemasa
@infosemasaofficial
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Pasangan Zalim guna pisau, gunting, periuk panas dera amah " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.