CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan negeri tidak berkompromi dalam isu penerokaan tanah haram apabila terus bertindak tegas menangani pencerobohan tanah haram melalui operasi Op Lestari 2 di Lembah Bertam Cameron Highlands.
Operasi menghentikan pencerobohan tanah haram itu membabitkan 98 lot tanah seluas 34.28 hektar yang telah diteroka secara haram.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi kali ini adalah bagi menghentikan aktiviti pencerobohan tanah haram sepanjang rezab jalan dan sungai di Lembah Bertam di sini.
“Alhamdulillah setelah dua hari berjalan Op Bertam berjalan dengan lancar dan ada di antara mereka membuka sendiri khemah-khemah plastik kerana mereka memahami meneroka tanah kerajaan secara haram.
“Berbanding dengan operasi penguatkuasan di Sungai Ichat tahun lepas yang mana kita memdapat bantahan begitu hebat daripada pihak peneroka haram ini dan di sini tidak ada masalah,”katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi kali ini mensasarkan kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang telah mengorbankan nyawa pada November 2014 yang lalu.
Tambahnya operasi kali ini juga dilakukan berdasarkan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara, 1965.
“Saya ucapkan terima kasih kepada peneroka yang telah mengosongkan tanah secara sukarela dan terima kasih kepada pejabat tanah serta semua agensi terlibat.
“Saya ambil kesempatan di sini menyeru kepada semua supaya tidak sesekali meneroka tanah kerajaan secara haram kerana ini adalah satu kesalahan,”ujarnya.




Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Kerajaan negeri teruskan operasi banteras tanah haram " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.