PKPD di tiga lokaliti di Bentong
Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi di Bentong, Pahang mulai esok hingga 23 Disember ini.


Kawasan itu membabitkan Apartmen Amber Court, Apartmen Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes di lokaliti berkenaan.
“KKM sudah menjalankan saringan bermula 6 Disember lalu dan sehingga semalam, sebanyak 55 kes positif Covid-19 direkodkan di mukim Bentong di mana majoriti adalah membabitkan pekerja warga asing di lokaliti ini.
“Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat seramai 4,351 orang.
“Pelaksanaan PKPD ini membolehkan KKM mengesan dan menjalankan saringan bersasar kontak rapat selain menyekat penularan di dalam komuniti,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.
Dalam perkembangan lain, kerajaan turut melanjutkan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah sehingga 24 Disember depan.
Katanya, sehingga kini KKM juga mengesahkan masih terdapat baki 1,386 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.
Selain itu, kerajaan juga melanjutkan PKPD selama 14 hari lagi di Taman Perumahan, Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah bermula bermula esok sehingga 24 Disember.
Katanya, PKPD itu membabitkan Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi serta Taman Seri Limau.
“Sehingga kini, KKM turut mengesahkan terdapat baki 128 sampel saringan yang masih menunggu keputusan,” katanya.
Kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Mukim Teja di Kampar, Perak mulai esok berbanding tarikh asal pada 20 Disember depan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:16 PM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
#HarianMetro
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " PKPD di tiga lokaliti di Bentong " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.