JOHOR BAHRU 15/12/2020 – Jika anda mempunyai nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi atau bersifat ‘fancy’, molek ditanggalkan.
Ini kerana polis Johor akan memburu semu pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi bermula dalam kalangan pegawai dan anggotanya, mulai hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan pegawai, anggota polis serta agensi penguat kuasa lain.
“Kita akan mulakan di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor dulu. Kita bercakap soal masyarakat, tetapi ada antara pegawai dan anggota polis yang tidak ikut peraturan.
“Sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 9,985 saman dikeluarkan terhadap kesalahan menggunakan nombor kenderaan ‘fancy’.
“Antara alasan diberikan, mahukan keunikan, stail dan lain daripada lain yang dilakukan tidak kira siapa termasuk mat rempit serta ahli perniagaan yang mahu tunjuk status mereka menerusi nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’ ini,” katanya selepas meninjau kaunter semakan dan tawaran diskaun saman 50 peratus Kontinjen Johor di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, bermula hari ini hingga 31 Disember, pihaknya akan mengadakan Ops Khas bagi kesalahan lampu isyarat dan nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’.
Pemilik nombor kenderaan ‘fancy’ boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Rule 6 (1) LN173/69 dan Seksyen 108 (3) (F) APJ 1987.
Mengenai hari pertama tawaran diskaun saman, Ayob Khan berkata, seramai 1,050 individu membayar 2,300 saman dengan jumlah kutipan RM152,720.
“Saman layak mendapat diskaun kecuali berstatus bicara mahkamah, kesalahan Op Selamat tahun semasa, kemalangan tahun semasa, berstatus waran tangkap tahun semasa, membabitkan motolori 2018, 2019 dan 2020 serta berstatus No Compoundable (NC) 2018, 2019 dan 2020,” katanya.



Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " NOMBOR KENDERAAN ‘FANCY’, TUNGGU ‘SURAT CINTA’ POLIS JOHOR " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.