Polis maut dilanggar pemandu mabuk.
Dalam kejadian 10.25 malam semalam di Kluang, Johor, Lans Koperal Bradford Bernard, 28, seorang frontliner yang sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh oleh sebuah kereta yang dipercayai pemandunya mabuk di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Hing.
Mangsayang juga merupakan seorang suami telah mengalami cedera parah akibat rempuhan itu dan tidak dapat diselamatkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa baru sahaja selesai tugas kawalan keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam sebelum pulang ke IPD Kluang.
“Hasil siasatan mendapati, pemandu kereta Mercedes-Benz hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa menyebabkan anggota polis itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Susulan itu, polis menahan pemandu kereta berkenaan yang berusia 58 tahun dan hasil saringan ujian nafas mendapati lelaki itu positif alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Johor turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa.




Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Polis maut dilanggar pemandu mabuk " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.