Jatuh tali air cuba lari daripada penguat kuasa
Pasir Mas: Tindakan seorang lelaki mengundurkan kenderaan untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa membawa padah apabila kenderaan dipandu yang membawa muatan 834 kilogram minyak masak terjatuh ke dalam tali air di Kampung Slow Machang, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, anggotanya bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat, membuat rondaan selepas mendapat maklumat awam di kawasan berkenaan.
Katanya, sebaik melalui sebuah jalan sempit menyusuri tali air, pihaknya bertembung sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna merah dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandu bertindak mengundurkan kereta sejauh enam meter sebelum terjunam ke dalam tali air terbabit.
“Anggota kemudian bertindak membantu suspek yang berusia 28 tahun dan membawa naik kesemua minyak masak bernilai RM2,085 yang diletakkan di bahagian belakang kereta, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand.
“Modus operandi bagi penyeludupan kali ini adalah suspek diupah untuk membawa barang kawalan ke pangkalan haram di sekitar Sungai Golok, menggunakan kenderaan persendirian bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bagaimana pun, hasil tindakan pantas pihak berkuasa, kegiatan terbabit berjaya digagalkan dan suspek ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Suhaimi berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek kali pertama ditangkap pihak berkuasa akibat melakukan kegiatan penyeludupan ini.
“KPDNHEP memberi amaran dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan.
“Kerjasama bersama agensi-agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras serta memastikan pengguna dapat menikmati subsidi yang dibekalkan kerajaan,” katanya.


▶️Harian Metro
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Jatuh tali air cuba lari daripada penguat kuasa " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.