Getah pelapik berlipat punca kemalangan
KUALA LUMPUR: Pelapik getah berlipat di bawah pedal brek menjadi punca sebuah kereta hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta lain dan tiga gerai makanan di Jalan Taman Mesra, dekat Kajang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata kemalangan pada jam 3 petang itu turut mengakibatkan seorang peniaga cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan susulan.
“Kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 58 tahun yang mahu keluar dari kawasan parkir tiba-tiba hilang kawalan kerana masalah brek lalu panik dan langgar sisi kiri depan kereta Honda City yang diparkir serta tiga gerai.
“Wanita berusia 39 tahun yang juga pemandu Honda City itu turut mengesahkan pelapik getah itu berlipat selepas membuat pemeriksaan dalam kereta Proton Saga berkenaan.
“Dua pemandu tidak cedera namun seorang peniaga melecur belakang badan akibat terkena minyak panas susulan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum ini, video berdurasi seminit 52 saat tular di media sosial antara lain menunjukkan beberapa khemah gerai makanan rosak dan berselerak akibat insiden itu.
Oleh Faris Fuad
Mac 10, 2021 @ 1:47pm
faris.fuad@bh.com.my
#BeritaHarian
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " {Video} Getah pelapik berlipat punca kemalangan " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.