Hanya lalu, tak dibenar mendarat, berlegar di ruang udara Malaysia
Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan pesawat Israel yang melalui ruang udara Malaysia baru-baru ini mengikut peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

MOT memaklumkan, pesawat awam Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada 19 Mei lalu, jam 2.55 pagi.
Pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan yang ditetapkan ICAO yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.
“Sebagaimana peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan daripada melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat itu tidak membabitkan kebenaran mendarat atau berlegar di ruang udara Malaysia.
“Tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat berkenaan melalui ruang udara Malaysia.
“Pihak berkuasa penerbangan Malaysia mengesahkan pesawat berkenaan tidak kembali ke ruang udara Malaysia selepas tiba di destinasinya, Singapura,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat perisik milik Israel dikesan berlegar di ruang udara Malaysia kira-kira empat jam sebelum mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Singapura.
Jejak penerbangan itu juga boleh dilihat menerusi Flightradar24.
Jurnal berita Defense Security Asia mengandaikan pesawat dengan nombor pendaftaran 4X-AOO itu mungkin membawa radar sensitif dan peralatan pengintipan.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Hanya lalu, tak dibenar mendarat, berlegar di ruang udara Malaysia " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.