Usaha bawa naik KRI Nanggala 402 dihentikan
Jakarta: Indonesia menghentikan usaha menyelamatkan kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam April lalu.

Kapal berkenaan yang terputus hubungan ketika menjalani latihan mencetuskan usaha menyelamat antarabangsa.
Kenderaan penyelamat bawah laut kemudian menjumpai kapal buatan Jerman yang karam lebih 800 meter di dasar laut dan mengesahkan bahawa tidak ada harapan untuk mencari mangsa yang selamat.
Kapal penyelamat China dihantar untuk membantu usaha mengangkut kapal.
Tetapi tentera Indonesia berkata, ia akan mengakhiri operasi itu selepas mengadakan pertemuan dengan rakan tentera laut China.
Dalam kenyataan ringkas, tentera laut Indonesia menggambarkan usaha berkenaan sebagai “bukan tugas yang mudah” dan “sangat berisiko”, tanpa mengulas lanjut.
Jurucakap Tentera Laut, Julius Widjojono berkata, alasan utama operasi itu berakhir adalah kerana penyelamat masih belum menemui lambung tekanan, di mana ia dikatakan sebagai lokasi terakhir kru kapal berkenaan.
“Sasaran utama penyelamatan adalah mencari badan kapal,” katanya kepada AFP.
Katanya, usaha selama sebulan itu berjaya mengumpulkan “bahan penting” dari kapal selam, tetapi keputusan untuk menghentikan operasi itu bermaksud tidak ada peluang untuk membawa naik jenazah kru kapal.
“Keluarga kami berharap mereka dapat membawanya naik, tidak kira jika ia perlu mengambil masa atau kita perlu meminta lebih banyak pertolongan dari negara lain,” kata Sudarmaji, bapa kepada seorang anak kapal, sebelum pengumuman itu dibuat.
Sebelum ini, tentera berkata, magnet berkuasa tinggi dan belon udara adalah antara pilihan untuk mengangkat kapal selam itu.
Sehingga kini, tidak ada kenyataan jelas sama ada laporan mengenai penyebab kemalangan itu akan didedahkan kepada umum.
Malah, pihak tentera juga belum memberikan sebarang penjelasan rasmi mengenai kejadian berkenaan.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Usaha bawa naik KRI Nanggala 402 dihentikan " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.