Kes sporadik COVID-19 membimbangkan

PUTRAJAYA: Negara kini berdepan aliran peningkatan mendadak kes baharu dan kematian akibat COVID-19, terutama pada 1 April atau Minggu Epidemiologi (ME) ke-13.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana kebanyakan daripadanya adalah kes sporadik.
Dr Noor Hisham menjelaskan, kes sporadik ialah kes yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
“Berdasarkan analisis, trend kes kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun), dengan jumlah kes baharu COVID-19 dilaporkan adalah 52,040 kes, yang mana 84.3 peratus adalah kes sporadik.
“Negara kemudian merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu 53,419 kes yang mana 85.1 peratus adalah kes sporadik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Berbanding pada ME ke-19, jelasnya, jumlah kes baharu COVID-19 adalah 29,386 kes dengan 77.7 peratus adalah kes sporadik.
“Selain itu jumlah kumulatif kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April) adalah 8,968 kes dan 52 peratus adalah kes sporadik,” katanya.
Mengenai kumulatif mingguan bagi kes kematian, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan dapat dilihat dari minggu ke minggu.
“Kes kematian COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April) adalah 35 kes (26 kes sporadik), manakala pada ME ke-19 adalah 209 kes (187 kes sporadik).
“Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22, sebanyak 641 kes kematian COVID-19 dicatat dengan 559 kes sporadik,” katanya.
Beliau berkata, kematian kes sporadik dilihat meningkat berbanding kes kematian daripada kluster COVID-19.
“Antara faktor menyumbang kepada situasi berkenaan adalah kemunculan varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian lebih tinggi.
“Selain itu, penularan COVID-19 secara lebih meluas dalam komuniti berbanding ME sebelumnya.
“Justeru, kita meminta masyarakat mengambil serius situasi ini kerana penularan COVID-19 berlaku dalam komuniti termasuk di pusat beli-belah, tempat kerja dan sebagainya,” katanya.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Kes sporadik COVID-19 membimbangkan " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.