Perhilitan rampas 22 unggas liar disimpan tanpa permit

PASIR GUDANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 22 unggas liar yang disimpan tanpa permit, di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di Taman Kota Masai, di sini, semalam.
Pegawai dan anggota Perhilitan yang melakukan serbuan ke atas premis itu kira-kira jam 5.30 petang, menemui 15 burung murai batu, masing-masing dua burung Hwamei dan serindit, serta tiga ayam hutan yang kesemuanya masih hidup.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban, berkata hasil soal siasat mendapati pemilik kedai terbabit yang juga lelaki berusia 34 tahun, tidak memiliki sebarang surat kebenaran daripada jabatan itu untuk menyimpan hidupan liar berkenaan.
“Dalam serbuan itu, 16 sangkar buluh dan tiga sangkar besi turut dirampas.
“Kesemua barang kes dianggarkan bernilai RM13,800 telah dirampas untuk siasatan lanjut.
“Malah, premis terbabit pernah diserbu pada awal tahun ini atas kesalahan sama dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Susulan itu, Salman berkata, satu laporan polis dibuat dan kes akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Perhilitan rampas 22 unggas liar disimpan tanpa permit " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.