Australia henti vaksin AstraZeneca individu kurang 60 tahun
SYDNEY: Australia menyarankan suntikan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca tidak diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke bawah.

Menteri Kesihatan, Greg Hunt, berkata terdapat kebimbangan kemungkinan vaksin itu ada kaitan dengan kejadian darah beku sekali gus, bermaksud Pfizer kini ‘vaksin pilihan’ untuk golongan berusia 60 tahun ke bawah.
Pihak berkuasa Australia melarang dos suntikan AstraZeneca untuk individu berumur 50 tahun ke atas pada April lalu, selepas berlaku kejadian darah beku teruk yang mungkin ada kaitan dengan vaksin itu.
Larangan dibuat semalam, selepas wanita berusia 52 tahun mati kerana darah beku, selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.
Hunt mengakui langkah itu memberi tamparan terhadap pelaksanaan program imunisasi di negara itu yang sudah lama terhenti.
Setakat ini, tiga peratus daripada 25 juta penduduk negara itu sudah diinokulasi sepenuhnya.
Orang ramai bersuka ria di Pantai Bondi hari ini, walaupun ada kes positif COVID-19. – Foto AFP
Ekoran kegelisahan masyarakat yang semakin meningkat berikutan pelaksanaan program imunisasi bergerak perlahan, kerajaan mengumumkan pegawai tentera kanan, Leftenan Jeneral John Frewen, dipertanggungjawab memimpin pelaksanaan program, pada peringkat persekutuan dikenali sebagai operasi ‘pelindung vaksin’.
Langkah itu mungkin memberi kesan kecil ekoran tanggungjawab untuk imunisasi sebahagian besarnya terletak di bawah kuasa negeri.
Australia melabur banyak wang untuk memperoleh vaksin AstraZeneca, termasuk menyediakan kemudahan yang boleh mencecah 50 juta dos suntikan dalam negara.
Pembelian vaksin lain terhad, selain mengalami beberapa kali penangguhan sehingga memaksa kerajaan melupakan dahulu sasaran vaksinasi terhadap semua golongan dewasa, pada September depan.
Australia hanya merekodkan jumlah kecil kes jangkitan COVID-19. Negara itu juga menutup sempadannya kepada semua, kecuali segelintir pelancong asing.
Langkah diambil negara itu mungkin akan terus dikuat kuasa sehingga sebilangan besar golongan dewasa divaksin. – AFP
Feri memasuki pelabuhan ketika maghrib Sydney, hari ini. Australia masih menutup pintu kepada pelancong. – Foto AFP
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Australia henti vaksin AstraZeneca individu kurang 60 tahun " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.