Padah sebar berita palsu, bakal jururawat didenda RM7,000
Seorang bakal jururawat didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian seorang anggota polis yang didakwa disebabkan suntikan vaksin Covid-19, April lalu.

Tertuduh, Junaidah Tekat, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Dia didakwa menggunakan aplikasi Facebook menggunakan akaun ‘Junaidah June’ telah menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar iaitu; “Di Gerik hari ini diperakui satu lagi kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Salam takziah. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga”.
Perbuatan itu dikesan di pejabat Hal Ehwal Awam/Pesara Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira pukul 9.40 pagi 4 April 2021.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azlina Rasdi dan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh yang baharu menamatkan pengajian di sebuah institut kejururawatan diwakili peguam, Henie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Hakim Rohaida menjatuhi hukuman denda RM7,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Media pada April lalu melaporkan, polis sedang mengesan seorang individu bagi membantu siasatan kes tular dalam media sosial kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Sumber: Kosmo
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Padah sebar berita palsu, bakal jururawat didenda RM7,000 " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.