Bukan polis palsu, tindakan berdasar undang-undang

SEREMBAN: Pihak polis telah mengesan dua rakaman video yang tular mendakwa ‘polis palsu’ telah datang untuk membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Georgetown, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mengesahkan telah hadir ke sebuah rumah kediaman di Georgetown pada pukul 11 malam semalam untuk siasatan satu kes tipu.
“Siasatan kes dikendalikan oleh IPD Nilai dan bertindak atas maklumat Op Pelican sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Nilai bersama polis dari Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang telah datang ke rumah tersebut.
“Kehadiran pihak polis bagi mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan laporan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Fazley berkata, dua rakaman video mendakwa ‘polis palsu’ datang ke sebuah rumah itu memaparkan suara seorang penghuni wanita dan telah tular dalam laman Facebook.
“Pasukan polis telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada penghuni rumah dan hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki yang dikesan tiada di rumah tersebut.
“Tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya.
Tambah beliau, tindakan pihak polis adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan fakta dalam isu dan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Bukan polis palsu, tindakan berdasar undang-undang " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.