Kontak rapat punca kes naik di Kedah
ALOR SETAR: Sebahagian besar peningkatan kes COVID-19 di Kedah kebelakangan ini berpunca daripada kontak rapat berikutan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata kes merebak terlalu cepat dalam kalangan komuniti apabila ada individu yang positif pulang ke rumah atau kampung sebelum menjangkiti ahli keluarga dan orang terdekat.
“Selepas itu mereka pergi bekerja seperti kes di kilang yang sebenarnya bermula daripada komuniti dan kembali menjangkiti komuniti.
“Kes negeri ini turut meningkat kerana saringan bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Muda dengan kebanyakan individu disaring positif COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam Kedah mencatat 800 kes baharu COVID-19 dengan dua daerah merekodkan kes tertinggi iaitu 238 di Kuala Muda dan 290 di Kulim.
Daripada jumlah itu, Dr Mohd Hayati berkata 779 kes adalah jangkitan tempatan, 10 import B, lapan import C dan tiga adalah kes dalam tahanan.
Katanya, kebanyakan mereka yang positif adalah kategori satu dan dua serta diarah menjalani kuarantin di rumah.
Mengenai dakwaan katil di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Kulim penuh, beliau berkata, penambahan akan dilakukan termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
“Apabila HSAH penuh, kita hantar pesakit COVID-19 ke Hospital Kulim, Hospital Baling dan Hospital Sik.
“Bagaimanapun, hospital ini kecil tidak seperti HSAH dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mana ada kalanya ia cepat penuh.
“Jadi kita menambah katil di hospital dan PKRC. Bagi pesakit COVID-19 dalam kategori empat dan lima, mereka akan dirawat di hospital manakala kategori dua dan tiga di PKRC sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo, berkata bilangan kes positif COVID-19 di Kedah meningkat sejak seminggu terakhir ini.
Katanya, majoriti kes positif adalah dalam kalangan kontak rapat, diikuti saringan bergejala, kluster dan tempat kerja.
“Berdasarkan senario ini, kami mengandaikan amalan norma baharu belum dihayati secukupnya.
“Ada kluster baharu berpunca daripada majlis atau kenduri keluarga dan anak cucu yang pulang melawat ibu bapa yang kurang sihat,” katanya ketika dihubungi.
Dr Othman turut memaklumkan katil di Hospital Kulim kini penuh manakala pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital hibrid lain yang masih kosong.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " Kontak rapat punca kes naik di Kedah " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.