JPNK TAHAN LELAKI YANG CEROBOH DAN RATAKAN TANAH HUTAN SIMPAN TERENAS
*_ALOR SETAR:_* Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki disyaki menceroboh kompartmen 12 dalam Hutan Simpan Terenas, Sik, semalam.
Ketika serbuan dilakukan selepas JPNK menerima aduan awam kira-kira jam 10.30 pagi, lelaki tempatan berusia 49 tahun itu didakwa sedang meratakan tanah di kawasan terbabit menggunakan jengkaut miliknya.
Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah, berkata lelaki itu dipercayai mengambil upah melakukan kerja berkenaan untuk penanaman pokok getah.

“Hasil pemeriksaan pasukan petugas mendapati kira-kira satu hektar tanah sudah diratakan yang dipercayai dilakukan sejak tiga hari lalu.
“Kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok hutan secara haram itu mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM80,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Muhamad berkata, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk siasatan lanjut oleh JPNK.
Beliau berkata, sebuah jentera jenis Excavotar Sumitomo disyaki digunakan untuk kerja merata dan membersihkan tanah, turut disita bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Selain itu, Muhamad berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal, serta Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.
Jika sabit kesalahan bawah dua seksyen itu, beliau berkata, masing-masing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“JPNK memandang serius pencerobohan dan penerokaan hutan simpanan kekal, terutama mereka yang mengambil kesempatan melakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu disyaki melakukan kesalahan terbabit.
“Bagi memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ yang diutarakan melalui Tajuk " JPNK TAHAN LELAKI YANG CEROBOH DAN RATAKAN TANAH HUTAN SIMPAN TERENAS " di lamanĀ ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.