Miliki pistol tiruan, tiga lelaki ditahan
IPOH, 6 Ogos – Tiga lelaki berusia antara 20 sehingga 22 tahun telah ditahan pihak polis kerana disyaki memiliki pistol tiruan dekat sini pada Jumaat

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata hari ini tersebar di aplikasi Whatsapp sebuah video berdurasi 13 saat memaparkan seorang remaja lelaki memegang senjata api menyerupai sepucuk pistol berada di hadapan sebuah rumah bersama dua rakan.
Katanya bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengesan dan berjaya menangkap dua daripada mereka sekitar jam 2.30 petang.
Menurut beliau ketika tangkapan dibuat satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto turut dirampas.
“Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang menunggang sebuah motosikal dan sedang berkeliaran di Jalan Kampung Paloh di Ipoh. Manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada jam lebih kurang 7 malam hari yang sama.
“Ketiga-tiga remaja yang ditahan telah mengaku membeli pistol tiruan tersebut serta telah berkumpul di hadapan sebuah rumah pada 5 ogos sambil meminum minuman keras.
“Salah seorang daripada tiga remaja tersebut telah mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dan dirakam oleh rakan yang lain sebelum ditularkan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Mior Faridalathrash berkata kes disiasat di bawah seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah.
Tambahnya jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
“Pihak polis menasihatkan kepada orang ramai agar tidak sesekali cuba untuk menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” tegas beliau.

Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Miliki pistol tiruan, tiga lelaki ditahan " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.