Duka tak terduga, sukarelawan urus jenazah Covid-19 kebumi ibu sendiri
Abdul Razak Nordin menjadi sukarelawan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sejak dua minggu lalu.
PETALING JAYA: Sukarelawan menguruskan jenazah pesakit Covid-19, Abdul Razak Nordin, menempuh duka tidak terduga apabila mengebumikan ibunya, Patimah Ibrahim, 68, yang meninggal dunia akibat virus itu, semalam.

Razak, 34, reda dengan ketentuan Ilahi dan hanya mampu menahan linangan air mata sepanjang perjalanan membawa jenazah ibu tersayang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
Katanya, ibunya menghembuskan nafas terakhir di rumah di Seksyen 20, Shah Alam, sekitar 11.30 malam kelmarin, dan dia hanya mengetahui berita sedih itu selepas dihubungi kakak ipar, Nabila Syahrain, 33.
“Abang (Zulkarnain Nordin) kemudian bergegas membawa emak ke Hospital Shah Alam dan doktor mengesahkan kematian pada 4 pagi semalam dengan menyatakan puncanya adalah Covid-19 pneumonia.
“Kira-kira 4 petang pada hari emak meninggal dunia, saya ada menghubunginya menerusi panggilan video dan nampak keadaannya yang lesu tetapi tak sangka arwah akan pergi serta disahkan positif Covid-19,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, kebetulan dia adalah seorang daripada sukarelawan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PJC-19), jadi mendapat kebenaran menguruskan jenazah ibunya dengan dibantu lima petugas lain.
Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, Razak yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mula menjadi sukarelawan PJC-19 sejak dua minggu lalu tidak henti berdoa dan berzikir walaupun dalam keadaan berjuraian air mata.
“Arwah emak pernah menyatakan hasratnya dan harapan supaya anaknya dapat mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan seandainya meninggal dunia.
“Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaannya malah berpeluang menatap wajahnya dan mengiringi perjalanan terakhirnya sebelum ke negeri abadi.
“Detik paling sebak dan buat saya ‘terduduk’ adalah ketika mahu memasukkan jenazah emak ke liang lahad kerana tahu itu kali terakhir dapat melihatnya,” katanya.
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Duka tak terduga, sukarelawan urus jenazah Covid-19 kebumi ibu sendiri " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.