Tak sedar ‘bunuh’ kucing sendiri

Tak sedar ‘bunuh’ kucing sendiri

 

Kuala Lumpur: Bulu gugur dengan banyak, cirit birit dan ada yang mati. Itu nasib dialami kucing peliharaan Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid, 55, selepas termakan makanan tiruan yang dibeli secara dalam talian.

Info Sains Teknologi dan Kesihatan

Khalid berkata, makanan itu dibeli beberapa bulan lalu di sebuah platform jualan dalam talian terkemuka.

 

“Kebiasaannya, saya membeli makanan kucing di kedai tetapi membuat pembelian dalam talian kerana mahu mengehadkan pergerakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Saya fikir, kaedah itu lebih mudah dan selamat dalam tempoh pandemik kerana transaksi dilakukan secara dalam talian dan hanya perlu menunggu barangan sampai di rumah.

 

“Ketika itu, saya tidak berasa ragu-ragu atau terlalu teliti untuk memeriksa keaslian produk dibeli sehingga nampak kesannya pada kucing peliharaan tidak lama selepas diberi makanan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 

Selain ada yang mati, Khalid berkata, kucing peliharaannya turut mengalami masalah bulu gugur kronik dan cirit- birit hingga terpaksa dibawa ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan.

 

Menurut Khalid, apa yang berlaku membuatkannya serik untuk membeli makanan secara dalam talian.

 

“Cukuplah, itu kali pertama dan terakhir saya membeli makanan kucing secara dalam talian.

 

“Tak sanggup rasanya melihat kucing mati dan menderita malah rumah saya penuh dengan bulu ketika itu, ibarat salji.

 

“Hasil maklumat yang saya terima, ramai pemilik dan pembiak kucing baka sudah menjadi mangsa dengan kegiatan itu kemungkinan ada sejak dulu cuma semakin aktif dalam tempoh pandemik,” katanya.

 

Khalid berharap, pihak berwajib mengambil tindakan tegas dengan melakukan pemantauan kerana makanan kucing tiruan itu adalah daripada jenama terkemuka di pasaran yang sering menjadi pilihan pembeli.

 

Justeru, Khalid enggan lebih ramai terpedaya hingga kucing menjadi mangsa akibat ketamakan pengeluar dan penjual makanan yang hanya tahu mengaut untung.

 

“Produk makanan tiruan itu kemungkinan mengandungi bahan tiruan atau perasa berlebihan yang boleh merosakkan organ kucing yang memakannya.

 

“Jadi, agensi terbabit antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) perlu melakukan pemantauan jualan makanan kucing di premis serta dalam talian.

See also  [VIDEO] Kucing ada deria istimewa

 

“Agensi terbabit juga boleh meningkatkan ciri keselamatan dengan menetapkan keperluan adanya penandaan atau logo khusus bagi memudahkan pengguna memeriksa keaslian sesuatu produk,” katanya.

 

Menurut Khalid peranannya sebagai Presiden KKM pula adalah menasihati ahli supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat pembelian dan hanya membeli dengan ejen atau pengedar sah bagi mengelak kucing mendapat mudarat.

 

Anak kucing mati selepas cirit-birit

 

Nilai: “Saya tak sangka ada yang tergamak menjual makanan tiruan untuk mengaut untung tanpa menghiraukan nyawa kucing,” kata pembiak dan pemilik kucing, Sarah Coon.

 

Sarah, 44, yang menetap di Nilai Impian di sini antara individu menjadi mangsa selepas terbeli makanan kucing tiruan di sebuah platform jualan dalam talian.

 

Katanya, dia membuat pembelian itu pada Mac lalu dan tidak ragu-ragu untuk membeli kerana tiada ulasan buruk tertera pada ruangan maklum balas peniaga berkenaan.

 

“Saya beli makanan itu dengan harga RM210 selepas potongan 10 peratus yang kononnya diberikan sempena promosi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Makanan dipesan sampai namun haiwan peliharaan saya mengalami cirit-birit selepas itu dan belasan ekor mati, kebanyakannya anak kucing.

 

“Saya yakin ia berpunca daripada makanan kerana sebelum ini kucing saya sihat dan bebas penyakit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 

Sarah cuba berhubung semula dengan penjual makanan berkenaan namun tidak mendapat maklum balas.

 

Berikutan itu, dia terpaksa menanggung kos membawa kucing yang sakit ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan.

 

“Saya terpaksa mengeluarkan duit empat kali ganda untuk membayar kos rawatan di klinik veterinar yang berjumlah lebih RM800.

 

“Itu belum lagi wang pelanggan membuat tempahan yang terpaksa saya pulangkan kerana kucing ingin dibeli mati.

 

“Bayangkan hal ini terjadi kepada mereka yang tidak berkemampuan dan entah bagaimana nasib kucing itu nanti,” katanya.

 

Sarah berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana membabitkan nyawa haiwan yang sepatutnya dilindungi oleh manusia.

 

Lebih membimbangkan Sarah jika lebih ramai individu terbabit dalam jualan makanan tiruan kerana sedar dapat mengaut untung mudah dengan cara itu.

See also  Tip penting permulaan penjagaan kucing :-

 

“Paling saya takutkan adalah kesan jangka panjang daripada isu ini. Salah satunya kucing yang sakit kemungkinan dibuang pemilik yang tidak mampu menampung kos rawatan dan menjaganya lagi.

 

“Justeru, perkara ini wajar diberi perhatian pihak berwajib kerana saya ada kongsikan pengalaman di laman sosial dan baru tahu ramai rupanya pernah menjadi mangsa,” katanya.

 

PEMBIAK dan pemilik kucing, Sarah Coon bersama kucing peliharaannya.

 

Beli makanan kucing hanya dari penjual diiktiraf

 

Putrajaya: Pemilik haiwan peliharaan diingatkan membeli makanan daripada penjual yang mempunyai Sijil Pendaftaran Penjual Makanan Haiwan yang dikeluarkan Lembaga Makanan Haiwan.

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, ini kerana setiap penjual yang berdaftar sudah melalui proses penilaian bagi setiap barangan jualan yang diluluskan untuk dijual.

 

Menurutnya, setiap makanan haiwan dikawal selia mengikut Akta Makanan Haiwan 2009 (Akta 698) dari segi kualiti makanan haiwan agar melalui pengawalan pengimportan, pembuatan, penjualan dan penggunaan makanan haiwan atau bahan tambahan.

 

“Semua pengimportan makanan haiwan memerlukan Lesen Mengimport Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan.

 

“Bagi aktiviti pembuatan dan penjualan makanan haiwan pula memerlukan seseorang atau sesebuah syarikat untuk berdaftar dengan Lembaga Makanan Haiwan sebelum diberikan Sijil Pendaftaran Pembuat atau Sijil Pendaftaran Penjual Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan.

 

“Pengimportan, pembuatan atau penjualan yang tidak mematuhi kehendak di atas melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan sepertimana ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

 

Katanya, JPV sentiasa memantau penjualan makanan haiwan agar ia mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan bagi menjaga kebajikan haiwan itu.

 

Beliau berkata, JPV juga akan menjalankan siasatan berhubung isu penjualan makanan haiwan atau bahan tambahan makanan haiwan selaras dengan ketetapan Peraturan-peraturan Makanan Haiwan (Pembuatan dan Penjualan Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan) 2012.

 

“Setakat ini, JPV masih belum menerima sebarang laporan berkaitan jualan makanan haiwan tiruan namun pemantauan berterusan terus dijalankan bagi memastikan aktiviti seumpama ini tidak berlaku.

 

“JPV mengingatkan agar makanan haiwan yang dibuat sama ada untuk kegunaan sendiri atau jualan mematuhi keperluan kualiti dan keselamatan makanan untuk haiwan,” katanya.

See also  Kucing atas kapal karam diselamatkan Tentera Laut Thailand

 

Katanya, pengguna yang mahu membuat sebarang aduan boleh menghantar ke emel respon@dvs.gov.my.

 

‘Ada juga kedai jual makanan tiruan’

 

Kuala Lumpur: “Saya tidak tahu adanya jualan makanan kucing tiruan di pasaran sebelum ini sehingga jadi mangsa penipuan penjual,” kata pemilik kucing, Maizurah Ibrahim, 48.

 

Maizurah yang menetap di Ampang di sini turut menjadi mangsa pembelian makanan kucing tiruan dan lebih mengejutkannya apabila makanan tiruan berjenama itu dijual di sebuah premis yang sering dikunjunginya sebelum ini.

 

TANGKAP layar luahan pembeli makanan tiruan di laman sosial.

 

“Saya berdepan pengalaman itu tahun lalu sebelum pandemik lagi. Ikutkan, saya tidak tahu kedai itu menjual makanan kucing tiruan tetapi diberitahu seorang pemilik premis lain mengenainya.

 

“Pemilik itu juga tawarkan saya makanan asli bagi membolehkan saya melihat perbezaan dengan yang tiruan dan ternyata memang ada bezanya.

 

“Mujur ada yang beritahu saya mengenainya dan rasa bersyukur kerana kucing tidak pernah sakit cuma nampak kurang berselera makan,” katanya.

 

Maizurah berkata, antara perbezaan ketara dapat dilihatnya adalah warna bungkusan makanan kucing tiruan agak pudar berbanding asli.

 

Selain itu, makanan kucing asli juga dilengkapi pelekat hologram dan ia tiada pada yang palsu.

 

“Selama ini, saya hanya beli, bawa pulang ke rumah kemudian buka bungkusan untuk masukkan isinya ke dalam bekas.

 

“Kiranya, saya tidak memeriksa atau meneliti bungkusan makanan bagi memastikan keasliannya.

 

“Bagaimanapun, apa yang berlaku membuatkan saya lebih peka dan berhati-hati kerana enggan perkara buruk berlaku kepada kucing peliharaan.

 

“Ini kerana saya memelihara kucing seperti anak sendiri dan sudah menganggap sebagai keluarga jadi enggan kehilangannya disebabkan kesilapan memberi makanan,” katanya.

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ  yang diutarakan melalui Tajuk " Tak sedar 'bunuh' kucing sendiri " di lamanĀ  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

Our Visitor

363713
Users Today : 332
Users Yesterday : 1520
Users Last 7 days : 10608
Users Last 30 days : 66063
Users This Month : 52731
Users This Year : 363712
Total Users : 363713
Views Today : 437
Views Yesterday : 2349
Views Last 7 days : 16363
Views Last 30 days : 101903
Views This Month : 81702
Views This Year : 560768
Total views : 560769
Who's Online : 7
Your IP Address : 44.192.38.248
Server Time : 2022-11-27
0Shares