Kembar empat perlukan tablet untuk teruskan PdPR
KOTA BHARU, 26 Okt — Kembar empat yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Jun lepas memerlukan peranti seperti tablet untuk memudahkan tugasan sekolah sepanjang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin Md Khairuddin yang berusia 18 tahun itu memerlukan peranti tersebut memandangkan mereka terpaksa berkongsi dua komputer riba sebelum ini.
Kesemua pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Melor itu perlu menumpukan usaha untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun hadapan.
“Satu (komputer riba) sudah rosak manakala satu lagi terpaksa diberikan kepada abang sulung, Syafiq Muttaqin yang kini meneruskan pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Terengganu.
“Sebenarnya komputer riba yang kami gunakan sekarang merupakan komputer riba terpakai yang dibeli oleh ayah. Disebabkan itu, ia banyak kali rosak dan perlu dibaiki sehingga menjejaskan pembelajaran kami di rumah,” kata Amir Muttaqin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pusu di sini hari ini.
Sementara itu, ibu mereka Rusmazuaiti Mokhtar, 44, mengharapkan belas ihsan mana-mana pihak untuk menghulurkan bantuan memandangkan keluarganya mengalami kekangan kewangan ketika ini.
Suri rumah itu berkata mereka sekeluarga hanya bergantung hidup dengan pendapatan suaminya, Md Khairuddin Musa yang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah di Ulu Kelantan.
“Sebelum ini anak-anak kembar saya ini cemerlang dalam pelajaran dengan memperoleh keputusan 6A dan 7A dalam peperiksaan SPM.
“Seboleh-bolehnya saya berharap mereka dapat mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM pula,” kata Rusmazuaiti yang memiliki tujuh anak.
— BERNAMA
Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).
Ikuti kami di media sosial : Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial TikTok : @bernamaofficial
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Kembar empat perlukan tablet untuk teruskan PdPR " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.