Bahagian-1 Perjuangan Air Mata Pembinaan Lebuhraya Timur Barat

Catatan Sejarah komunis bunuh pekerja JKR musnahkan 68 jentera pembinaan Lebuh Raya Timur Barat.

Info Sains Teknologi dan Kesihatan

 

Telah genap 40 tahun Lebuh Raya Timur Barat (JRTB) menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan dibuka kepada orang ramai.

Bagi kebanyakan kita, lebuh raya sepanjang 125 kilometer yang beroperasi sejak Julai 1982 ini adalah laluan yang memendekkan tempoh perjalanan dari Utara ke negeri pantai Timur kepada kurang dari 10 Jam.

Pembinaan yang diusahakan oleh tenaga Jabatan Kerja Raya JKR merupakan lambang kegigihan dan pengorbanan nyawa demi keselamatan dan kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Pembinaannya diwarnai dengan air mata, penderitaan, kesusahan dan ancaman pengganas komunis.

Lebuh raya ini membolehkan pemandu dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara menuju ke Kelantan tanpa perlu turun ke Selatan melintasi beberapa negeri untuk sampai ke destinasi. Laluan pintas ini bermula di Gerik merentasi banjaran Titiwangsa hingga ke Jeli Kelantan.

 

 

Pembinaan Lebuhraya Timur Barat mempunyai strategi serampang dua mata.

Pertama, memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna memendekkan jarak perjalanan serta menjimatkan masa.

Kedua, untuk mengekang kegiatan pengganas komunis khususnya di kawasan Gerik.

 

ANCAMAN

Ketika ancaman komunis memuncak antara tahun 1967 hingga mereka meletakkan senjata di bawah Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989, Gerik adalah kawasan hitam. Kawasan keselamatan (security area) ini sentiasa dikawal dan diawasi oleh pasukan keselamatan demi melindungi penduduk daripada ancaman komunis.

Dalam usaha memerangi pengganas komunis, khususnya di kawasan Gerik dan sekitar seperti Keroh (Pengkalan Hulu) dan Baling, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, mencetuskan idea pembinaan Lebuhraya Timur Barat pada tahun 1967.

See also  Chin Chin Kooi Perwira Negara gugur bertempur dengan Komunis

Matlamat pembinaannya adalah menjadikan lebuh raya itu `lebuh raya pertahanan, sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan komunis.

Ini sejajar dengan usaha kerajaan ketika itu memperkenalkan Program Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) yang memberi penekanan kepada hal ehwal ketenteraan dan awam. Melalui program ini kerajaan merancang pelbagai strategi memerangi komunis dengan melaksanakan projek-projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar. Antaranya pembinaan jalan, sekolah, hospital, klinik kesihatan serta kemudahan awam seperti elektrik dan bekalan air.

Pembinaan Lebuhraya Timur Barat yang bermatlamat menghapuskan rangkaian hubungan komunis termasuk dalam skop ini.

Apabila kawasan belantara di sepanjang lebuh raya yang dicadangkan itu dibersihkan, tempat persembunyian dan laluan komunis akan terjejas. Ini memudahkan operasi keselamatan menggempur serta memusnahkan kedudukan mereka, di samping memutuskan laluan mereka ke Thailand.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada 1970 di bawah kendalian JKR. Pastinya ia tugas yang sukar dan mencabar kerana kedudukan muka bumi yang berbukit bukau, bergunung-ganang, berlurah dan berbatu batan merentasi laluan pembinaan yang dicadang, selain hutan belantara yang tebal.

Lebuh raya ini melalui dua banjaran utama itu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa.

Komunis adalah ancaman utama projek pembinaan ini. Mereka memberi tentangan, mengganggu dan mensabotaj dalam usaha menggagalkan projek berkenaan. Mereka juga mendatangkan kemudaratan, kemusnahan dan kesusahan kepada para pekerja serta membinasakan peralatan yang digunakan.

See also  Penubuhan Pasukan Tentera Pelbagai Kaum

 

Untuk melindungi pekerja dan peralatan, pihak tentera mengadakan kawalan ketat di lokasi pembinaan. Pos tentera diwujudkan pada setiap kilometer laluan pembinaan. Pembinaan lebuh raya dijalankan serentak dari arah Gerik dan dari Jeli.

 

TERKORBAN

Pada peringkat awal, pembinaan dijalankan dalam keadaan serba kekurangan. Pekerja dan peralatan yang digunakan tidak mencukupi. Hanya pada awal 1973 peralatan dan pekerja sepenuhnya diperoleh bagi membolehkan pembinaan berjalan lancar.

Dua buah Kem Pangkalan (Base Camps) diwujudkan, sebuah di Gerik dan sebuah lagi di Jeli. Di kem inilah keseluruhan tenaga kerja dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu ditempatkan. Kem Pangkalan di Gerik masih wujud. Sebahagian daripadanya masih berpenghuni tetapi ada bangunan ditinggalkan usang tidak didiami.

Tugas penerokaan awal amatlah sukar, dimulai dengan pembinaan laluan ke kawasan pembinaan, diikuti dengan menebang dan membersihkan hutan. Apabila kerja-kerja pembinaan bertambah rancak dan jarak perjalanan antara kem pangkalan ke lokasi pembinaan semakin jauh, kem-kem baru dibina berhampiran kawasan pembinaan.

Dalam susah payah inilah juga komunis terus memberi ancaman, mensabotaj dan menyerang hendap. Kawalan keselamatan diperketat dan operasi memburu komunis terus menerus dilancarkan menerusi `Ops Pagar’ yang dijalankan sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya ini.

Dalam serangan komunis pada 23 Mei 1974 sebanyak 63 jentolak diletup dan dimusnahkan. Serangan bermula dari pukul 8 malam sehingga pagi.

Kemusnahan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian tetapi menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala seketika.

See also  Panduan melalui Lebuhraya Timur Barat[Grik-Jeli]

Lebih menyedihkan, dalam satu lagi serangan pada 27 Ogos 1974, tiga pekerja JKR terkorban dan ada yang tercedera. Serangan hendap ini berlaku ketika para pekerja yang menaiki lori dari Kem Pangkalan di Gerik dalam perjalanan ke Banding, dengan diiringi oleh trak tentera.

Mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali.

Peristiwa menyayat hati ini menggambarkan betapa air mata, duka dan ancaman menjadi sebahagian daripada kisah di sebalik pembinaan lebuh raya ini. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kemalangan semasa bekerja.

 

Sesungguhnya inilah pengorbanan tidak ternilai yang telah mereka sumbangkan demi keselesaan dan kemudahan generasi masa kini dan akan datang.

KOS

Kesukaran pembinaan lantaran hutan belantara, rupa bumi yang berbukit bukau serta batu batan dan lembah, ditambah ancaman komunis menjadikan tempoh pembinaan menjangkau selama 12 tahun.

Kosnya juga meningkat daripada bajet awal sebanyak RM85 juta. Lebuh raya sepanjang 125 kilometer antara Gerik dengan Jeli ini akhirnya disiapkan dengan kos RM396 juta dan dibuka kepada lalu lintas mulai 1 Julai 1982.

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar  yang diutarakan melalui Tajuk " Bahagian-1 Perjuangan Air Mata Pembinaan Lebuhraya Timur Barat " di laman  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

Our Visitor

367385
Users Today : 2297
Users Yesterday : 1707
Users Last 7 days : 12017
Users Last 30 days : 64364
Users This Month : 56403
Users This Year : 367384
Total Users : 367385
Views Today : 3431
Views Yesterday : 2573
Views Last 7 days : 18327
Views Last 30 days : 99468
Views This Month : 87269
Views This Year : 566335
Total views : 566336
Who's Online : 30
Your IP Address : 18.207.136.189
Server Time : 2022-11-28
0Shares