Sabah: Cabaran kehidupan ada pelbagai. Antaranya meredah belukar, sungai dan kawasan berpaya untuk ke destinasi.



Kemudahan infrastruktur terhad menyebabkan ada murid dan pelajar yang menghuni Kampung Mansiang Baru, Keningau menyeberangi sungai dengan hanya meniti batang paip merentasi Sungai Mansiang.


Dalam video tular di media sosial, kumpulan kanak-kanak berpakaian sekolah kelihatan tenang untuk meniti batang paip merentasi Sungai Mansiang.


Bagi yang memandang, sudah tentu sangat menyeramkan, namun bagi penduduk kampung berkenaan, ia hanyalah cabaran biasa kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kekurangan infrastruktur asas.

Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tulid, Flovia Ng ketika mengulas perkara itu berkata, beliau sudah mendapatkan peruntukan bagi membina jambatan merentasi Sungai Mansiang di perkampungan berkenaan.


Katanya, peruntukan untuk membina jambatan itu diperoleh melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 23 Jun lalu dan kini sedang dalam proses dokumentasi untuk cabutan tender.


Flovia yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, situasi yang dilihat dalam video tular itu hanya berlaku ketika air sungai melimpah disebabkan hujan lebat.


“Sebelum ini ada ‘Low River Crossing’ merentasi Sungai Mansiang sebagai laluan penduduk untuk menyeberangi sungai yang airnya cetek ketika tahap normal. Cuma ia tidak dapat dilalui ketika banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kini menjadi keutamaannya untuk memastikan jambatan dibina segera dan memastikan kebajikan penduduk terpelihara.


Isu kesukaran perhubungan akibat ketiadaan jambatan atau jambatan usang di perkampungan sebelum ini dilaporkan di Nabawan, Sandakan dan Pitas.


Pada April lalu, di Nabawan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dilaporkan terpaksa menggunakan rakit buluh dan kaedah ‘zip line’ menggunakan tong dram untuk menyeberangi sungai selepas jambatan rosak dihanyutkan arus deras ketika banjir awal tahun ini.


Bagaimanapun, tindakan sudah diambil untuk membina semula jambatan gantung berkenaan.

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ  yang diutarakan melalui Tajuk " (VIDEO) Hanya jiwa kental sahaja mampu menyeberangi Sungai Mansiang " di lamanĀ  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

By Bicara Minda

Lulusan Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaya 1991 Aktif menulis blog alhadi.my

0Shares