UCAPAN
PRESIDEN UMNO MALAYSIA
DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

MAJLIS TAKLIMAT PRESIDEN
27 OGOS 2022 / 29 MUHARRAM 1444

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

اللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً
وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامًّا
عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تُنْحَلُ بِهَ الْعُقَدُ
وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ�وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ
وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ�وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ
وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ
وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ
وَنَفَسٍ بِعَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ


YB Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
Yang Berbahagia, Tan Sri Pengerusi Tetap
Naib-Naib Presiden
Presiden Parti-parti Komponen Barisan Nasional
Presiden Parti-parti Friends of BN
Ketua Wanita UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Barisan Kepimpinan UMNO Bahagian-bahagian, Keluarga besar dan para penyokong UMNO yang saya hormati sekalian



1. Tersentuh rasanya apabila melihat ke bawah, sosok yang selalu berada bersama-sama dengan kita, hilang daripada pandangan mata. Pemimpin dan sahabat sejati kita kini terkurung. Tak dapat dibayang pedih rasanya apabila mengenangkan, dek kerana dendam politik, orang yang banyak berjasa, yang menyentuh setiap jiwa dan melakarkan pelbagai pendekatan agar rakyat pimpinannya sejahtera, kini terpisah dengan keluarga dan rakyat yang merindui sentuhannya.

2. Secara peribadi, saya cukup terasa. Berbaur rasa sedih dan kecewa dengan perlakuan terhadap Dato’ Sri Najib yang telah terlebih dahulu dihukum sebelum didapati bersalah.

3. Buat anakanda Gina, yang sebentar tadi menyampaikan ucapannya, lihatlah, ribuan yang hadir pada hari ini menjadi bukti Dato’ Sri Najib tidak akan pernah keseorangan dan tidak akan dilupakan. Keluarga Gina tidak bersendirian dalam memastikan keadilan dapat dicapai buat insan yang telah banyak berjasa kepada negara dan parti keramat UMNO ini. Selagi mana ada ruang pembelaan, kami akan terus bersama. Bagi kami Dato Sri Najib ibarat pohon besar di tengah padang, tempat bernaung dari kepanasan, tempat berlindung dari kehujanan.

Saudara-saudari hadirin yang saya hormati.

4. Syukur ke hadrat Allah kerana dapat kita bertemu pada petang ini. Tahun ini sahaja, empat kali kita telah berhimpun di Dewan Merdeka ini. Perhimpunan Agung UMNO 2021, Perhimpunan Agung Khas, Konvensyen Barisan Nasional dan hari ini Taklimat Khas Presiden. Semuanya mempunyai catatan peristiwa yang tersendiri tetapi tetap dengan satu matlamat iaitu memperkukuhkan parti untuk mendapatkan semula mandat baharu rakyat.

5. Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin merakamkan terima kasih buat peguam terkemuka negara, Tan Sri Shafie Abdullah dan barisan peguam yang bersama dengan beliau kerana sudi berkongsi pentas bersama-sama dengan kita. Perkongsian dan pandangan yang dilontarkan oleh beliau, menambahkan lagi keyakinan serta membakar semangat kita untuk terus berjuang, bagi memastikan keadilan dan sistem perundangan negara tidak dirobek oleh tangan-tangan yang menjadikan institusi perundangan sebagai papan catur.

6. Kita berhimpun pada petang ini hanya dengan satu matlamat iaitu mahu mengembalikan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersendikan hukum dan bukannya negara yang ditadbir oleh pencatur undang-undang rimba. Kita berhimpun atas nama solidariti bagi membawa UMNO dan Barisan Nasional kembali memimpin negara untuk kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran. Pada masa sama, kita berazam untuk menamatkan politik dendam dan ugutan yang dibawa oleh musuh-musuh politik kita.

7. Kita memilih untuk berhimpun di rumah UMNO, di Dewan Merdeka ini sebagai tanda solidariti kita.

Kita tidak memilih jalan raya untuk menzahirkan perasaaan kita.
Kita tidak berhimpunan di pusat membeli belah yang menggangu ketenteraman awam.
Kita tidak berarak dengan melaungkan slogan menanam kebencian.
Kita tidak membakar lilin di hadapan penjara.
Kita tidak merosakkan harta benda awam bagi melempiaskan kemarahan kita.

Ini kerana sebagai parti yang telah membina negara kita amat memahami setiap tindakan yang melampau seperti yang pernah kita saksikan sejak tahun 1998, hanya akan memberikan gambaran buruk yang boleh menjejaskan kerukunan dan kestabilan negara.

8. Kita boleh sahaja melalui rangkaian akar umbi menggerakkan kebangkitan, namun UMNO dan Barisan Nasional tidak mempunyai DNA mewujudkan kekacauan apatah lagi merosakkan ketenteraman awam di negara ini. Kita bukan perusuh. Walaupun berhadapan dengan fitnah dan mehnah, kita masih waras dalam bertindak. Kita adalah parti yang membawa kemakmuran, parti yang menjamin kestabilan dan kesejahteraan.

9. Tiada siapa dapat menafikan sejak pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, parti keramat UMNO inilah yang meletakkan asas perundangan negara berpaksikan kepada hukum. Kita adalah pemelihara prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Walaupun pernah berlaku krisis perlembagaan dan kehakiman di awal tahun 90-an, sejarah membuktikan ia berlaku dek kerana tangan seorang yang sehingga kini masih kekal dengan sifat sanggup menginjak-injak apa sahaja institusi demi menghalalkan tindakan politiknya.

10. Dua puluh dua tahun dan 22 bulan menjadi bukti bagaimana hukum diperalat, pelaksana dijadikan bidak yang digerak mengikut kemahuannya, asalkan musuh politik dapat dibenam.

11. Saya kira kita bernasib baik, Dato’ Sri Najib semasa menjadi Perdana Menteri telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saudara-saudari, ISA pada awalnya digunakan bagi berhadapan dengan ancaman komunis. Di bawah Perdana Menteri ke-4 yang telah memerintah selama 22 tahun itu, ISA tidak lagi hanya digunakan untuk musuh negara tetapi bagi mendiamkan sesiapa yang boleh mengancam kedudukannya, termasuk di kalangan pemimpin parti kita sendiri. Tersapat ramai Alumni tahanan ISA ada di kalangan kita di sini. Kita ada Dr. Zambry dan saya sendiri. Kami bukan musuh negara, kami adalah orang parti, anda tidak perlu menjadi musuh negara untuk menjadi mangsa ISA.

12. Jadi bayangkan jika ISA tidak dihapuskan oleh Dato’ Sri Najib, kembalinya orang itu selepas PRU Ke-14 pasti ramai di antara kita yang akan masuk ke dalam.

13. Terdapat dikalangan pemimpin utama pembangkang hari ini pun, adalah lulusan tahanan ISA. Dahulu mereka berjanji kononnya, akan menyiasat dan menghumban orang itu ke dalam penjara. Pelbagai gelaran diberikan sperti Mahazalim, Mahafiraun dan Bapak Perompak Negara kepadanya. Namun disebabkan orang itu boleh dijadikan senjata untuk menghancurkan kita, dia dijulang untuk menerajui kerajaan Pakatan Harapan. Seolah-olah bersih segala dosanya. Hilang semua laungan bapa korupsi, memperkayakakan kroni dan nepotisme yang melegarkan kekayaan anak beranak serta suku sakat. Bapa Perompak Negara diangkat menjadi Perdana Menteri yang ke-7.

14. Apakah natijah yang dapat kita simpulkan, apabila Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri 22 bulan berada di tampuk kuasa? Barang harus diingat, apabila saya menyebut Pakatan Harapan, kita jangan lupa PPBM (BERSATU) adalah sebahagian daripada mereka ketika itu telah bersubahat memulakan gerakan politik dendam dan ugutan.

15. Agenda ini dicapai oleh Pakatan Harapan kerana mereka berjaya memanipulasi pengundi. Para pengundi yang dimanipulasi melalui pelbagai bentuk fitnah dan ditanam dengan pelbagai persepsi dan kebencian kepada BN, telah terpengaruh dan membuat keputusan mengundi Pakatan Harapan.

16. Setelah berjaya membentuk kerajaan, langkah utama yang diambil oleh mereka ialah:

Pertama, mereka menukar Peguam Negara

Kedua, tidak pernah berlaku dalam sejarah tanahair Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi sebuah parti politik; dan

Ketiganya, lebih parah lagi perlantikan Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim dicatur oleh Perdana Menteri. Ini bukan saya yang kata tetapi itulah yang didedahkan oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri. Keadaan ini telah meletakkan institusi kehakiman negara ini menjadi bahan sindiran.

17. Saudara saudari sekalian. Kenapa tiga jawatan ini menjadi keutamaan mereka. Inilah sebenarnya kedudukan strategik untuk memenuhi agenda politik dendam mereka. Ia menjadi senjata untuk menghancurkan musuh politik dan menyelamatkan rakan-rakan kongsi mereka.

18. SPRM diarah mencari kes, Peguam Negara mendakwa manakala hakim pula menjatuhkan hukuman. Cukup syarat untuk merealisasikan segala agenda politik dendam seperti yang digambarkan di dalam buku Tommy Thomas.

19. Peguam Negara diibaratkan bagaikan dewa. Dia boleh mendakwa dan dia juga boleh melepaskan mengikut telunjuk tuan politiknya (political master). Lihat sahaja kes rasuah bunglow Lim Guan Eng yang sudah pun dalam perbicaraan digugurkan begitu sahaja tanpa alasan. Begitu jugalah sejumlah kes rakan-rakan kongsi Pakatan Harapan yang dilepas dan dibebaskan. Ini temasuklah gangster seperti yang disebutkan oleh sahabat kita Dato Zaid Ibrahim dalam tayangan video sebentar tadi.

20. Maka dengan sebab itulah, sejurus kita kembali menerajui kerajaan melalui Perdana Menteri, MKT telah menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat pendedahan Tommy Thomas tentang wujudnya campurtangan politik dalam institusi kehakiman dan undang-undang negara.

21. Saya mengimbau semua ini kerana mahu kita memahami dahulu latar belakang yang membawa kepada apa yang berlaku hari ini. Dalam bahasa mudah, jangan lupa tak sempat pun subuh, setelah beroleh kuasa pada PRU Ke-14, perkara pertama dilakukan ialah memalukan musuh utama politik mereka, Dato’ Sri Najib.

22. Penggeledahan rumah, rampasan barang dijadikan drama untuk tontotan umum. Belum pun dihadap ke mahkamah gelaran perompak, penyamun, perasuah; menayangkan hasil ‘rampasan’ yang dijadikan drama, hanya semata-mata mahu memberikan persepsi negatif kepada Dato’ Sri Najib, seolah-olah beliau telah bersalah.

23. Saya mengimbas perkara-perkara ini bagi memastikan kita memahami itulah politik dendam dan ugutan yang dibawa oleh mereka atas undi rakyat. Dengan sebab itu, kita dengan lantang dan tegas menyatakan pendakwaan terhadap Dato’ Sri Najib adalah PENDAKWAAN POLITIK.

24. Namun kita tidak seperti mereka. Kita sentiasa berpegang kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Saya tidak pernah menuntut agar kes saya digugurkan, sama ada kepada Perdana Menteri ke-8, yang bergantung hayat dengan sokongan kita, apatah lagi kepada Perdana Menteri sekarang yang merupakan orang parti kita sendiri.

25. Begitu juga dengan Dato’ Sri Najib. Saya sendiri menjadi saksi, beliau secara konsisten berpegang kepada pendirian tidak mahu kesnya digugurkan. Akan tetapi sebaliknya, beliau mahu membersihkan diri dan dan nama baik keluarganya di mahkamah.

Saudara saudari sekalian

26. Apa yang dituntut oleh Dato’ Sri Najib hanyalah perbicaraan yang adil (fair trial). Ini yang menyebabkan kita terkilan kerana apa yang beliau pohon adalah ruang dan sedikit masa untuk mengemukakan bukti baharu. Apa yang dipohon adalah penangguhan bagi membolehkan barisan peguam barunya membuat persediaan rapi, bukan pengguguran kes atau sengaja mahu melengahkan kes. Apa yang diminta adalah pertimbangan untuk membenarkan setiap sudut perundangan dimanfaatkan.

27. Tetapi semua ini dinafikan. Justeru, apakah salah jika rakyat mula membuat pelbagai andaian serta mempertikaikan proses pendakwaan yang sebegini.

28. Saya bukan pengamal undang-undang tetapi daripada hujah dan pandangan mereka dalam bidang perundangan, pertukaran hakim, memohon sedikit waktu penangguhan, mengemukakan bukti baharu, pertukaran peguam adalah sebahagian proses dalam mencari keadilan. Ini bukan pencabulan proses undang-undang. Sebaliknya menjadi terjemahan kepada prinsip “keadilan mestilah dilihat dilaksanakan”.

29. Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Sri Najib ia bakal menjadi rujukan kes-kes selepas ini dan akan juga oleh negara-negara Komanwel. Pertukaran peguam yang pada kebiasannya diikuti dengan kebenaran penangguhan untuk memberikan ruang kepada pasukan pembelaan membuat persiapan, adalah semata-mata untuk menjamin keadilan buat tertuduh.

30. Selain itu, kita dapat menyaksikan dalam proses pendakwaan apabila saksi-saksi utama tidak dibawa ke muka pengadilan. Watak-watak penting seperti Jho Lo, Nik Faisal, Zeti Akhtar Aziz yang disebut dalam perbicaraan tidak pun ditampilkan.

31. Apa yang dapat kita simpulkan, tanpa niat untuk mempersoal jauh sekali untuk mempertikaikan keputusan mahkamah, apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil.

32. Lebih parah lagi apabila kertas penghakiman telah tular belum pun prosiding di Mahkamah Persekutuan selesai. Setelah beberapa laporan polis dibuat khususnya oleh Pemuda UMNO pada hari kejadian kes Dato’ Sri Najib masih berlangsung, Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengesahkan kebocoran penghakiman itu hanya bersifat deraf. Namun hakikatnya, keputusan bersalah sudah pun dibuat. Ada yang beranggapan, mahkamah hanya dianggap bebas, sekiranyaorang seperti kita semua didapati bersalah dan orang di sebelah sana dibebaskan.

33. Saya tidak hairan jika keputusan kes saya juga sudah ada. Kes Guan Eng dan Syed Sadiq juga mungkin sudah ada. Cuma jangan terkejut, jika mereka dibebaskan. Ramai yang bertanggapan mahkamah hanya di anggap adil dan bebas, sekiranya orang seperti kita semua dijatuhkan hukuman bersalah dan orang di sebelah sana semuanya dibebaskan.

34. Soal pendakwaan politik dan perbicaraan yang adil saya sentuh secara panjang lebar kerana inilah yang akan menjadi ukuran adakah negara kita negara hukum atau negara yang ditadbir mengikut nafsu politik.

35. Sekali lagi saya ingin tegaskan, kita bukan mempersoalkan jauh sekali mempertikaikan, tetapi isu Dato’ Sri Najib, adalah isu proses perbicaraan dan penafian hak beliau. Semua dilihat telah dibuat secara tergesa-gesa. Dahulu ada kes mengambil masa enam dengan 67 kali penangguhan. Kenapa itu berlaku? Kerana tiada skrip atau plot yang diatur oleh sesiapa pun pada ketika itu.

36. Maka dengan sebab itu, kita telah bertekad mengangkat agenda pembaharuan, sebagai tawaran kita kepada rakyat Malaysia. Bermula dengan pembaharuan institusi Parlimen melalui kelulusan undang-undang anti lompat parti, kita juga beriltizam sekiranya diberikan mandat pada PRU ke-15 nanti, kita akan memisahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara, agar pengimbangan kuasa dapat diwujudkan dalam mencapai keadilan buat semua. Pendirian kita jelas, kita tidak mahu mana-mana institusi perundangan mahupun penguatkuasaan diperalat oleh tangan-tangan yang berkepentingan. Kita tidak lagi mahu lagi budaya politik dendam dan benci terus membarah sehingga menghancurkan kerukunan dalam masyarakat kita.

Saudara saudari sekalian

37. Peristiwa menimpa Dato’ Sri Najib yang amat menyedihkan ini, sepatutnya menyatukan kita dan bukan memecahkan. Isu Dato’ Sri Najib adalah isu kita bersama. Saya menyeru kepada semua yang hadir dari jauh dan dekat; yang berada di dalam dewan mahupun di luar dewan, dan yang berada di dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, kita adalah satu keluarga besar. Ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit.

38. Dengan berlatar belakangkan, kisah politik dendam dan ugutan itu, kita sepatutnya lebih insaf dengan perjuangan ini. Kesatuan dan perpaduan dalaman parti perlu terus dimantapkan. Tambahan pula kita akan berhadapan pilihan raya yang akan menjadi medan untuk kita menoktahkan politik kebencian, dendam dan ugutan. Kesatuan dikalangan kita adalah untuk memastikan kita memperolehi semula mandat baharu dan mutlak daripada rakyat.

39. Menyebut tentang pilihan raya, saya rasa sedikit terkilan kerana banyak pihak menuduh kita gila kuasa. Malah pembangkang pun seolah-olah menolak untuk diadakan pilihan raya. Saya tidak tahu kenapa mereka menolak idea supaya diadakan pilihan raya. Cuma setelah agenda memenjarakan Dato’ Sri Najib, berjaya dilaksanakan, sudah kedengaran mereka juga mahukan pilihan raya diadakan.

40. Siapa yang mengatakan bahawa desakan PRU 15 perlu disegerakan kerana saya takutkan sabitan hukuman terhadap saya? Ini adalah tidak benar sama sekali. Kerana apa? Kerana saya masih percaya bahawa system perundangan kita tidak memihak kepada sesiapa. Buat ahli-ahli UMNO dan sekalian pemerhati ingin saya tegaskan, sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah yang bernama AHMAD ZAHID BIN HAMIDI dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri dan takut dengan bayang-bayang mereka. Hakikatnya, saya membawa suara ahli-ahli UMNO yang setia. Bukan suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO.

41. Biarlah saya mengingatkan kita semua termasuk pembangkang. Desakan supaya pilihan raya diadakan bukan isu yang baru. Ia bukan soal kita gilakan kuasa. Ia juga bukan soal kita gopoh, hingga ada yang menuduh sesama sendiri kononnya kita mahukan pilihan raya kerana gilakan jawatan dan gilakan kedudukan.

42. Desakan ini telah kita lakukan, sejurus kerajaan Pakatan Harapan terbubar dengan sendirinya, ekoran percaturan kuasa sesama mereka. Begitu juga apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, kita dengan tegas menyebut, kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan pilihan raya perlu diadakan dengan segera. Namun sebagaimana kita lalui, ketika itu bermulalah mainan politik kerajaan gagal 17 bulan, untuk mengelakkan diadakan pilihan raya. Setelah melalui siri-siri pengkhianatan kepada persefahaman yang dibentuk, kita akhirnya telah berjaya meletakkan, Naib Presiden parti kita menerajui kerajaan. Walau bagaimana pun kita tetap tegas dengan pendirian bahawa pilihan raya perlu diadakan segera. MKT telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri agar pilihan raya diadakan setelah imuniti kelompok atau heard immunity dicapai. Dengan kata lain, setelah berakhirnya pandemik.

43. Kita konsisten menuntut pilihan raya diadakan kerana kita menghormati mandat rakyat. Kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat dan bukannnya melalui percaturan politik.

44. Saya sebutkan secara ringkas garis masa atau jeda waktu, apa yang berlaku kerana ingin mengingatkan semua bahawa ketika kerajaan PH terbubar, semua daripada kita, tiada yang terkecuali senada mahukan pilihan raya diadakan. Kita perlu memulangkan semula mandat kepada rakyat. Pendirian kita konsisten sejak awal lagi. Jadi janganlah ada pula suara di antara kita sendiri, yang mula menuduh kita gopoh mahukan pilihan raya. Kita tegas dalam perkara ini. Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat Hassan. Ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO.

45. Realiti sebenar adalah fakta yang menunjukkan senario politik yang terumbang ambing telah meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing. Kestabilan dan kebajikan yang dilaungkan umpama sebuah dongengan belaka. Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian semata-mata.

46. Justeru, dalam menyokong sebarang pandangan, fikirlah sedalam-dalamnya. Pesan orang tua-tua, “jika menurut biarlah berakal, jika mengikut biarlah pintar”. Saya akan tetap lawan dan terus berdiri di sini menakhodai bahtera UMNO, walaupun saya diperangi dari segenap penjuru. Selagi saya Presiden UMNO, saya tidak akan mengizinkan pengkhianat UMNO, memanipulasi fokus perjuangan UMNO yang sebenar.

47. Semua orang telah nampak apa yang berlaku kepada negara kita hari ini. Segalanya sudah terang lagi bersuluh, siapa yang ikhlas mempertahankan UMNO. Saya ingin menarik perhatian semua ahli UMNO, dan ingin mengingatkan, bahawa, BENAR! sepuluh tuntutan telah dipenuhi. Tuntutan tersebut hakikatnya adalah atas desakan dari UMNO sebagai sebuah parti. BUKAN daripada inisiatif individu. Jadi, saya ingatkan sekali lagi segala tuntutan itu adalah desakan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan ahli dan rakyat. BUKAN khusus untuk kepentingan mana-mana ahli atau pemimpin UMNO sekali pun! Manfaat tuntutan itu adalah untuk kesemua bangsa di Malaysia.

48. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya, kita berpeganglah kepada pendirian parti yang didukung oleh majoriti ahli-ahli. Seperti yang pernah saya ungkapkan kita mahu UMNO kembali dominan. Kerana kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan, hanya dapat dilaksana melalui kerajaan Barisan Nasional.

49. Kita telah membuktikan di PRN Melaka dan Johor, kerajaan Barisan Nasional yang stabil telah menampakkan hasil cukup membanggakan. Baik di Melaka mahupun Johor, rekod menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) di kedua-dua negeri itu, kini melonjak dengan mendadak.

Saudara dan saudari sekalian

50. Saya memikul amanah demi kepentingan parti! Saya bertanggungjawab untuk mengukuhkan parti! Tatkala saya menyebut akan mengembalikan parti ini di tampuk kuasa sebelum PRU-15, Alhamdulillah kini Perdana Menteri adalah Naib Presiden parti kita. Tatkala berlakunya kemelut politik tanah air, saya mengambil tanggungjawab hingga membolehkan Ahli-Ahli Parlimen kita menjadi sebahagian kerajaan. Tatkala berlakunya siri-siri pilihan raya kecil, saya bertanggungjawab bersama Timbalan mengembalikan maruah parti. Berlakunya Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, Melaka dan Johor, Alhamdulillah ia menjadi petunjuk rakyat kembali bersama kita.

51. Menjaga amanah parti dalam keadaan berhadapan dengan politik dendam, menuntut agar kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Menuntut untuk kita tidak melupakan asal usul kita. Ingatlah! keberadaan kita bukan kerana kehebatan diri kita sendiri tetapi disebabkan oleh kekuatan parti. Parti keramat ini. Banyak pemimpin dilihat hebat, hakikatnya mereka didokong oleh parti. DNA UMNO sahaja tidak mencukupi tanpa dokongan UMNO itu sendiri. Ada pemimpin dilihat hebat selama 22 tahun kerana ada UMNO yang mendokongnya. Namun runtuh dengan mudah dalam tempoh 22 bulan tanpa dokongan UMNO. Tanpa UMNO juga, kerajaan 17 bulan menjadi kerajaan gagal. Ingatlah tiada siapa yang boleh berjaya menjadi pemimpin tanpa dokongan UMNO dan Barisan Nasional. Kita yang berada di sini pun, kerana dokongan parti dan sokongan ahli-ahli akar umbi di bawah.

52. Kita yang istiqomah akan terus mempertahankan parti ini. Bagi yang lemah daya juang, disebabkan pendekatan politik dendam, ugutan dan ancaman, kita telah dapat menyaksikan kemunculan KATAK KATAK mencari tempat perlindungan kerana takut dikenakan tindakan.

53. Saya boleh sahaja memilih untuk menjadi katak demi menyelamatkan diri. Begitu juga rakan-rakan di sini, juga boleh menyertai lompatan katak untuk disucikan. Namun, kami memilih untuk terus setia, mempertahankan UMNO walaupun didesak, walaupun diasak, walaupun diancam dan walaupun diugut, untuk membubarkan parti keramat ini oleh Perdana Menteri ketika itu. Adat memegang amanah, cakapnya boleh dipegang, janjinya boleh disandang, kita memilih untuk mempertahankan wadah perjuangan umat Melayu ini melalui parti keramat UMNO kita ini.

54. Kini kita melalui pengalaman yang baharu. Saya ditakdirkan memegang amanah menjaga parti dan Perdana Menteri pula menjaga kerajaan. Namun ini tidak memberikan sebarang pengertian bahawa kita telah menguasai kerajaan sepenuhnya. Walaupun Perdana Menteri adalah Naib Presiden parti kita, perlu ditegaskan bahawa kerajaan ini bukanlah kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan ini bukan sepenuhnya kerajaan UMNO. Ia adalah kerajaan yang dianggotai pelbagai parti yang kita istilahkan sebagai kerajaan hybrid.

55. Kerajaan yang bersifat hybrid seperti sekarang ini sukar untuk memastikan kestabilan sebenar dapat dicapai. Ugutan, merajuk waima perjanjian yang langsung tiada dalam pengetahuan mahupun direstui parti, menjadi penghalang untuk kita melaksanakan pendirian dan ketetapan yang diputuskan oleh parti.

56. Sehubungan itu, kembali kepada rakyat, adalah merupakan jawapan bagi memastikan Barisan Nasional, memperolehi mandat baharu dan mutlak daripada rakyat; dan dengan mandat tersebut In Sya Allah, kita akan mengembalikan semula kestabilan dan kemakmuran seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.

57. Apa yang dapat saya rumuskan sebagai bekalan buat kita semua

Pertama :
Demi menghayati semangat dan daya juang Dato’ Sri Najib, kita perlu meneruskan perjuangan ini. Memastikan kejayaan perjuangan parti adalah merupakan pembelaan kita buat beliau.

Kedua:
Kita perlu segera mendapatkan semula mandat baharu dan mutlak daripada rakyat melalui pilihan raya umum. Ini bagi mengembalikan kerajaan yang stabil, kerana dengan kestabilan sahajalah, kita dapat memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara buat rakyat. Parti telah pun membuat keputusan. Sebarang pemungkiran hanya akan meletakkan parti di ambang perpecahan dan kemusnahan.

Ketiga:
Setiap daripada kita perlu kembali semula ke pengkalan UMNO. Kita mesti mempunyai matlamat yang sama. Keputusan parti adalah keputusan bersama, yang wajib kita patuhi, kerana ini adalah keputusan yang dibuat secara berjemaah. Jangan ada syak wasangka sesama sendiri. Jangan wujudkan parti di dalam parti. Kita perlu satukan pemikiran, kita perlu satukan tekad dan matlamat. Kita perlu mencatatkan tinta sejarah, bahawa kita adalah daripada kalangan yang bangkit daripada kejatuhan dan mengembalikan semula maruah parti yang tercalar.

58. Saudara Saudari sekalian, bagi meneruskan perjuangan Dato’ Sri Najib beberapa langkah perlu kita ambil:

Pertama :
Setiap ahli UMNO perlu menggerakkan kempen Nukilan Buat Najib. Selain yang berada di sini, kita lanjutkan di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan yang sedang bermesyuarat pada bulan ini. Tulislah catatan masing-masing. Berilah kata-kata semangat, perangsang dan ucapan terima kasih kepada beliau. Ibu pejabat akan mengumpulkannya dan menjadi surat rakyat untuk tatapan Dato’ Sri Najib yang sedang terkurung di sana.

Kedua :
Kita mesti bersedia, memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada kebijaksanaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya kelak.

Ketiga :
Menjadikan tulisan Facebook Dato’ Sri Najib sebagai bacaan untuk kita terus “like dan share”. Ia adalah senjata UMNO dan perlu digilap dan digunakan sentiasa. Jadikan pemikiran dan semangat tulisan ini sebagai senjata hidup UMNO untuk terus memerangi musuh-musuh politik kita; dan:

Keempat :
Bersedia menghadapi PRU bila-bila masa. Kemenangan besar Barisan Nasional adalah pengukuhan kepada obor-obor perjuangan Dato’ Sri Najib untuk parti dan negara. Kami percaya, kerajaan kepimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan.

59. Ya Allah selamatkanlah perjuangan kami. Ampunilah segala kekhilafan kami selama ini. Satukanlah hati-hati kami. Berkati dan Rahmatilah perjuangan kami dan kurniakanlah kejayaan buat kami Ya Rabbal Alamin

60. Sekian, wabilahhi tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar  yang diutarakan melalui Tajuk " UCAPAN
PRESIDEN UMNO MALAYSIA
DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI di perhimpunan khas amanat presiden " di laman  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

0Shares