Sehingga kini kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 38 minit selepas berlepas dari KLIA pada 8/3/2014 masih menjadi tanda tanya.

Bangkai MH653 Di kawasan Paya Tanjong Kupang

Walaupun pelbagai usaha menyelamat dilakukan pada skala besar melibatkan negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, China, Australia dan Britain, namun masih gagal mengesan lokasi terakhir pesawat malang berkenaan.

Tragedi ini mendapat liputan yang sangat luas sehinggakan di peringkat antarabangsa.

Insiden MH370 ini mengingatkan kepada satu kejadian menyayat hati berlaku pada 4/12/1977 yang melibatkan Malaysia Airlines MH653, terkenal sebagai tragedi Tanjung Kupang 1977.

Boeing 737-200 MAS



Walaupun sudah 45 tahun berlalu, namun kejadian yang berlaku pada tahun 1977 ini masih segar dalam ingatan terutama pihak yang terbabit secara langsung dalam operasi menyelamat.

Apa yang berlaku adalah pesawat MH653 yang ketika itu dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah dirampas.

Pesawat Boeing 737-200 itu kemudiannya telah terhempas di Tanjung Kupang, Johor di kawasan berpaya bakau pada kira-kira jam 8.15 malam, telah membunuh kesemua penumpang dan anak kapal berjumlah 100 orang.



Menurut laporan siasatan, juruterbang telah memberikan amaran kepada menara kawalan Lapangan Terbang Subang 20 minit sebelum tragedi itu berlaku.

Mesej yang disampaikan ke menara kawalan memberitahu bahawa pesawat tersebut telah dirampas oleh kumpulan Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army) yang memiliki bahan letupan bersama mereka.

Pendaratan yang dijadualkan di lapangan terbang Subang terpaksa dibatalkan dan pesawat tersebut menuju ke Singapura.

Berikut adalah butiran terperinci mengenai tragedi ini:

7.21 PM – Pesawat MH653 berlepas dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur dengan 93 penumpang dan 7 krew kapal

7.46 PM – Pesawat berada di ruang udara Batu Arang di ketinggian 4,000 kaki

7.47 PM – Juruterbang menghubungi Menara Kawalan dan memberitahu “653 going around”, dan mesej itu dibalas oleh Menara Kawalan dengan “653 is cleared to land, surface wind calm”.

Ketika ini terdapat pesawat lain yang menunggu kebenaran mendarat selepas MH653. Juruterbang pesawat tersebut bertanya “What’s your problem?” yang mana dijawab juruterbang MH653, “We have emergency on board,”.

Juruterbang Pesawat kedua meminta Menara Kawalan memeriksa dengan lebih lanjut. Krew MH653 kemudian memberitahu “We have a hijacker on board”.

7.49 PM – MH653 memberitahu “Maintaining 3000 coming over Kuala Lumpur (beacon) in 2 minutes, hijacker on board” dan dibalas Menara Kawalan, “Cleared to land on Runway 33 with no delay”.

MH653 kemudian membalas, “We are now proceeding to Singapore” dan bertanya “Understand message received?”. Menara Kawalan membalas, “Message received, understood”.

8.05 PM – Mengikut prosedur biasa, Pusat Kawalan Kawasan di Kuala Lumpur memberitahu Pusat Kawalan Kawasan Singapura tentang perkara ini dan meminta agar membenarkan MH653 terbang di ketinggian 21,000 kaki.

8.08 PM – Pusat Kawalan Singapura memberikan pelepasan pada ketinggian 11,000 kaki dan seminit kemudian MH653 melaporkan bahawa ia mula menurun.

8.12 PM – Pelepasan seterusnya diberikan oleh Pusat Kawalan Singapura untuk pesawat menurun ke ketinggian 7,000 kaki.

Pusat Kawalan kemudian menghantar mesej seterusnya namun tidak diterima kemungkinan disebabkan terputus hubungan menyebabkan prosedur kecemasan dimulakan oleh kedua-dua Pusat Kawalan Kuala Lumpur dan Singapura.

8.30 PM – Menurut laporan polis, MH653 sedang menuju ke Tanjong Kupang di Mukim Gelang Patah, Johor.

Saksi di darat termasuklah Konstabel Polis yang kemudiannya melaporkan nahas itu dengan segera di balai polis berdekatan.

Menurut saksi berkenaan, pesawat MH653 meletup di udara, semua lampu terpadam dan beberapa saat kemudian ia terbabas lalu menjunam ke tanah diikuti dengan letupan kedua.


Pihak polis di Johor kira-kira 56 kilometer daripada lokasi nahas dengan segera melancarkan operasi menyelamat terdiri daripada ambulans, kereta bomba dan kenderaan penyelamat lain termasuk sepasukan polis, perubatan dan kakitangan lain.
Mereka tiba di tempat kejadian selepas jam 10 malam.

Cebisan mayat dan pakaian



Antara mangsa-mangsa yang diketahui butiran termasuklah:
Krew
G. K Ganjoor – Juruterbang
Kamarulzaman Jalil – Pembantu Juruterbang

Karim Tahir dan Onn Jaafar – Pramugara

Sharifah Sidah Syed Mohamad dan Azian Borhanuddin – Pramugari

Penumpang
Datuk Sri Haji Ali bin Haji Ahmad – Menteri Pertanian
Tan Sri Mahfuz Khalid – Ketua Pengarah Jabawan Kerja Raya
Datuk Haji Khalid Mohamad – Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera
Abu Bakar Othman Merican – Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan
Hood Fadzil – Setiausaha Politik Datuk Sri Haji Ali
Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya – Duta Cuba ke Malaysia



Cebisan mayat kemudian dipungut dan dikumpulkan lalu dikebumikan di Perkuburan Khas Jalan Kebun Teh, Johor Bharu.


Pada hari Jumaat, 9 Disember iaitu 5 hari selepas kejadian berlaku, upacara pengebumian dilakukan mengikut adat dan ajaran agama termasuklah Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.


9 bulan selepas tragedi nahas, satu laporan rasmi yang mengandungi hasil siasatan terhadap kotak hitam MH653 telah didedahkan.

Menurut laporan, juruterbang dan salah seorang daripada krew pesawat telah ditembak mati lebih awal oleh perampas sebelum pesawat meletup.

Terdapat rakaman suara yang kedengaran 3 das tembakan dan rayuan oleh Kapten G.K Ganjoor sebelum ditembak, yang berbunyi, “No, please, dont,”.
Juga kedengaran suara yang menyebut, “You bluff us,” oleh suara yang tak dikenali sebelum bunyi tembakan kedengaran.

Antara suara lain yang kedengaran adalah perbualan bahasa asing.
Pesawat tersebut mula menjunam sebaik sahaja tembakan tersebut berlaku.

Laporan rasmi tersebut juga memberitahu bahawa tiada letupan yang berlaku ketika pesawat berada di udara.




Rujukan:
1. SJ Post
2. Malaysian Review
3. Arkib Negara

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentarĀ  yang diutarakan melalui Tajuk " Rampasan Pesawat MH653 terhempas di Tanjung Kupang 1977 " di lamanĀ  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

By Bicara Minda

Lulusan Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaya 1991 Aktif menulis blog alhadi.my

0Shares