Mereka ini berjuang mempertahankan tanah air membawa jiwa perjuangan supaya rakyat hidup dengan sejahtera.

Apakah pengorbanan sebegini hebat tidak layak dibalas dengan timbang rasa perubahan dasar kita? Undang-undang imigresen antara wilayah dalam negara yang sama wajar diharmonikan selaras dengan semangat gagasan kerajaan perpaduan Nasional.

Zaman 70an majoriti kita masih kecil ketika anggota keselamatan berhempas pulas dihutan Sarawak. Ramai yang menjadi korban pertempuran demi membebaskan bumi Kenyalang dari cengkaman musuh negara.

SIRI KE-18 PASUKAN F: OPERASI PARAKU

Pergerakan komunis turut melibatkan negeri Sarawak. Oleh kerana penduduk Cina di negeri itu merupakan satu daripada etnik majoriti, komunis menggunakan kelebihan itu untuk menarik penyokong dalam kalangan bangsa mereka.

Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) ditubuhkan pada 30 Mac 1970 dan diumumkan secara rasmi oleh Bong Kee Chok pada 19 September 1971. PKKU terbahagi kepada dua unit tentera iaitu Paraku di bahagian Timur Sarawak dan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak di barat.

Kee Chok merupakan Ketua Komander untuk kedua-dua unit tersebut manakala Hung Chu Ting adalah ketua Paraku.

Pada ketika itu kerajaan sudah pun melancarkan gerakan menghapuskan komunis di Semenanjung dan tidak terkecuali di Bumi Kenyalang itu.

Disebabkan tekanan daripada kerajaan dan pihak berkuasa, komunis semakin lemah kerana kekurangan sokongan selain menghadapi kesukaran dalam gerakan mereka. Dalam pada itu, penduduk yang tidak lagi mahu membantu komunis menyebabkan mereka susah mendapatkan bekalan makanan serta ubat-ubatan dan kelengkapan senjata.

Oleh yang demikian, pada 10 Oktober 1973, Kee Chok telah mengutuskan surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Rahman Yaakub menyatakan kesediaannya untuk menamatkan pemberontakan komunis dan kembali kepada masyarakat. Surat yang ditulis dalam bahasa Cina diterjemahkan dan diserahkan kepada Abdul Rahman tiga hari selepas itu.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman antara komunis dengan kerajaan Sarawak ditandatangani pada 21 Oktober 1973. Seterusnya Operasi Aman 1 dilancarkan untuk membawa keluar komunis dari hutan di negeri Sarawak. Operasi ini melibatkan tujuh batalion angkatan tentera dan empat batalion Pasukan Polis Hutan.

Pengumuman kejayaan gerakan ini berikutan penyerahan diri seramai 482 orang pengganas komunis kepada pihak berkuasa negeri Sarawak pada 18 Oktober 1973 yang turut disertai Kee Chok.

Beberapa bulan kemudian, seramai 264 komunis menyerah diri dan keluar dari kawasan hutan pada 13 dan 15 Disember tahun sama. Kali ini, Chee Woh daripada Pasukan F turut terlibat bersama Kee Chok untuk bertemu dengan Chu Ting dan memujuknya kembali ke pangkuan masyarakat.

Namun beberapa tahun kemudian sekitar tahun 1976, Chu Ting didapati telah masuk semula ke dalam hutan dan menggerakkan kembali agenda komunis.

Selepas Perjanjian Haadyai ditandatangani di Thailand, ini bermakna ancaman komunis di Semenanjung telah tamat. Namun di Sarawak kelompok kecil komunis kira-kira 80 orang anggota yang diketuai Chu Ting masih ada dan tinggal di dalam hutan menyebabkan kerajaan mahu anasir komunis di sana turut dilenyapkan.

Oleh itu, Pasukan F dihantar ke Sarawak untuk berunding dengan Chu Ting dan bersama-sama Cawangan Khas negeri itu mengeluarkan saki baki komunis serta meminta mereka menyerah diri.

OPERASI PARAKU II (CHIEN MEH) DILANCAR

Terdahulu pada 14 April 1990, satu pertemuan sulit diadakan antara Cawangan Khas yang diwakili Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Henry Chin dengan Timbalan Setiausaha Agung PKKU iaitu Chu Ting diadakan di Sibu, Sarawak. Perjumpaan dilaksanakan dalam suasana aman. Dalam perbincangan, Cawangan Khas mahu gencatan senjata segera dilakukan namun PKKU dikatakan masih memerlukan persetujuan ahli sebelum membuat keputusan.

Mereka sebenarnya telah melakukan beberapa pertemuan bagi menjayakan perundingan damai sekali gus membawa keluar angkatan komunis di hutan.

Proses mengeluarkan pengganas komunis dilakukan secara serentak di Sibu dan Miri. Mereka akan dikumpulkan semula di dua lokasi tertentu dan diiringi pasukan bersenjata dari Cawangan Khas Sarawak.

MISI KANOWIT DAN BARAM

Deputi Superintenden Kamaruddin Hashim atau Kenny dan anggota-anggota Pasukan F termasuk Inspektor Zahaliman Jamin menaiki pesawat Hercules milik TUDM menuju ke Pangkalan TUDM Kuching, Sarawak.

Mereka diarahkan oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Rahim Noor untuk melakukan satu lagi misi penting iaitu membantu Cawangan Khas Sarawak membawa keluar pengganas komunis Paraku yang beroperasi di hutan tengah daerah Sarawak sekali gus memastikan kumpulan pengganas itu meletakkan senjata.

Ini kerana selepas Perjanjian Haadyai ditandatangani pada 1989, kerajaan mahu pergerakan komunis dihapuskan sepenuhnya di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Misi tersebut dinamakan Operasi Chien Meh atau Paraku II.

Setibanya di Kuching, mereka berpecah. Sebahagian anggota Pasukan F mengikut Zahaliman ke Baram, Miri sementara Kenny dan anggota Pasukan F lain menuju ke Kanowit.

Di hutan Kanowit, Kenny perlu berhadapan dengan Chu Ting untuk meyakinkannya menyerah diri sementara Zahaliman pula akan membawa keluar pengikut-pengikut pengganas komunis itu di kawasan Baram.

Sebenarnya, Chu Ting pernah menyerah diri semasa Operasi Sri Aman atau Paraku 1 di Sarawak pada tahun 1973 dan ketika itu dia merupakan timbalan kepada ketua Paraku, Bong Kee Chok.

Bagaimanapun tiga tahun selepas itu, Chu Ting masuk semula ke hutan kerana masih mahu meneruskan perjuangan komunis dan menjadi ketua Paraku. Dia mengumpul semula pengikut dan hidup mewah dengan memeras wang tauke-tauke balak di Sarawak.

Selepas pengganas komunis meletak senjata di Semenanjung, Cawangan Khas Sarawak turut mengadakan perbincangan dengan Paraku agar mereka juga berbuat demikian namun perkara itu tertangguh kerana mereka tidak berpuas hati dengan syarat yang diberikan kerajaan.

Oleh itu, Pasukan F telah dihantar untuk membantu mempercepatkan proses peletakan senjata Paraku dan Kenny telah dipilih untuk berunding dengan Chu Ting dan dia diminta pergi ke hutan Kanowit bersama seorang detektif Cawangan Khas yang dikenali sebagai Lim (bukan nama sebenar) yang mahir berbahasa Cina serta mengendalikan alat komunikasi.

Untuk sampai ke Kanowit mereka perlu menaiki penerbangan ke Sibu dan kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke pekan daerah itu.

Sesampainya di sana mereka perlu menumpang lori balak untuk masuk ke dalam hutan yang perjalanannya mengambil masa kira-kira lima jam.

Kenny dan Lim tiba di dalam hutan pada pukul 3 petang dan sebaik sahaja turun dari lori balak, mereka ditinggalkan sementara menunggu kedatangan wakil pengganas komunis daripada Paraku.

Akhirnya selepas dua jam menunggu, seorang pengganas komunis yang lengkap beruniform muncul dan membawa Kenny serta Lim berjalan kaki menuju ke kem Paraku dan tiba sejam kemudian.

BERJUMPA CHU TING

Jam menunjukkan pukul 7.30 petang. Suasana di hutan yang gelap gelita bertukar terang dengan cahaya pelita dan unggun api sebaik sahaja Kenny dan Lim tiba di kem Paraku.

Kenny dan Lim disambut oleh Chu Ting yang kemudiannya mempelawa mereka minum teh. Walaupun hanya berdua, Kenny bertawakal agar tugas yang diamanahkan berjalan lancar.

Selepas menghabiskan teh, Kenny terus memulakan bicara dengan Chu Ting yang fasih berbahasa Melayu Indonesia. Ketua pengganas komunis itu yang sebelum ini telah berurusan dengan Cawangan Khas Sarawak meminta agar mereka dibenarkan menyimpan sejumlah senjata selepas menyerah diri seperti yang pernah disuarakan sebelum ini,

“Tidak boleh. Tapi saya tolong dapatkan selepas mereka bersetuju meletakkan senjata,” helah Kenny yang kemudian meminta Chu Ting menunjukkan jumlah senjata milik Paraku di kem tersebut.

Dia kemudian mengira senjata itu dalam samar cahaya pelita minyak tanah. Selepas selesai meninjau senjata, Chu Ting meminta Kenny dan Lim duduk di tempat yang disediakan kerana mereka akan mengadakan sedikit jamuan sempena kedatangannya.

Walaupun ragu-ragu, Kenny akur dan langsung tidak menunjukkan rasa takut di hadapan Chu Ting. Mereka kemudian dijamu dengan nasi berlauk sardin dan buah-buahan import selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan gendang dalam bahasa Cina.

Setelah penat berhibur, kesemua pengganas komunis itu mula berehat. Kenny dan Lim disuruh tidur di tempat yang disediakan namun mereka tidak dapat melelapkan mata dan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Ini kerana Chu Ting dan pengikut-pengikutnya masih berjaga dan sedang berbincang sesuatu dalam keadaan resah seolah-olah sukar untuk membuat keputusan.

Selepas lima jam “tidur-tidur ayam’ Kenny dan Lim bangun apabila menyedari kumpulan pengganas komunis itu mula menyediakan sarapan pagi.

Selepas minum, Chu Ting meneruskan perbincangan dengan Kenny dan selepas kata putus dibuat akhirnya dia bersetuju untuk menyerah diri bersama pengikut-pengikutnya serta meletakkan senjata.

Chu Ting juga menghubungi pengikut-pengikutnya di Baram agar menyerah dengan pasukan F yang diketuai Zahaliman.

Kenny dan Lim gembira dan mengucap syukur kerana perbincangan berjaya dilakukan tanpa menggunakan senjata dan kekerasan.

Selepas semua persediaan dibuat, Kenny menghubungi Cawangan Khas memaklumkan kejayaan itu dan meminta mereka membuat persediaan kerana pasukan Chu Ting akan meletakkan senjata.

Dengan bantuan pasukan tentera, kesemua pengganas komunis di Kanowit dan Miri dibawa keluar bersama kelengkapan senjata dan alat komunikasi mereka menggunakan trak. Kesemua mereka yang berjumlah 59 orang dibawa ke Kuching.

Kenny dan Pasukan F pula, pulang ke Kuala Lumpur dengan membawa kejayaan yang besar. Selepas itu, satu perjanjian damai ditandatangani pada 17 Oktober 1990 dan pada 3 November 1990 semua senjata, peluru dan bahan letupan dimusnahkan.

Kejayaan Operasi Paraku sekaligus menamatkan era pengganas komunis di bumi Malaysia sehingga ke hari Ini.

Sumber – Buku Coffee Table bertajuk ‘Pasukan F: Hanya Yang Berani’

“Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#PasukanF
#HanyaYangBerani
#InfoPDRM

Penafian

Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar  yang diutarakan melalui Tajuk " Orang berbudi kita berbahasa " di laman  ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.

By Bicara Minda

Lulusan Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaya 1991 Aktif menulis blog alhadi.my

0Shares