2 mins read

Peniaga dipenjara 4 tahun, 2 sebatan buat amang seksual terhadap anak tiri

This post has already been read 756 times!

Foto hiasan hukuman sebatan

KUALA LUMPUR: 8 Jun 2024 Seorang peniaga char kue tiau dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 13 tahun di dalam bilik sebuah hotel, awal bulan ini.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki berumur 44 tahun itu, serta memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 4 Jun lepas dan menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan selama setahun selepas tamat tempoh hukuman.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun empat bulan dengan menyentuh kemaluan mangsa bagi tujuan seksual di dalam bilik sebuah hotel di Bandar Tasik Selatan di sini pada jam 12.44 tengah malam, 3 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Mengikut fakta kes, mangsa dari Bagan Serai, Perak sepatutnya menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan untuk pergi ke sebuah sekolah di Johor Bahru, namun apabila mangsa dan tertuduh tiba di terminal bas itu pada 2 Jun, tertuduh memberitahu mangsa bahawa tiket bas telah habis dijual dan hanya ada pada keesokannya (3 Jun).

Mereka kemudian menginap di sebuah hotel dan semasa berada di dalam bilik itu, tertuduh meminta mangsa merapatkan kedua-dua katil tetapi mangsa enggan kerana berasa tidak selesa.

Baca Juga   Motosikal Honda BeAT 2023 tampil dengan warna segar harga Jualan RM5,990.00.

Bagaimanapun, tertuduh tetap merapatkan kedua-dua katil itu dan mangsa yang tidur pada malam itu terjaga daripada tidurnya apabila menyedari tertuduh menyentuh kemaluan mangsa.

Mangsa mengadu kepada kakak kandungnya melalui WhatsApp dan satu laporan polis dibuat sebelum tertuduh ditangkap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira tertuduh dalam kes ini merupakan bapa tiri mangsa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak tirinya meskipun tiada pertalian darah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.- BERNAMA

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.