Gara-gara Majikan melengah-lengahkan membayar gaji, seorang Pengawal Keselamatan terdesak memerlukan wang sehingga sanggup melakukan ragut keatas beg tangan seorang wanita mengandungi hanya wang tunai RM6.
KUALA LUMPUR: 17 Julai 2024 S. Emaiyarrasan, 33 seorang pengawal keselamatan dihukum penjara empat tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini . Hakim Izralizam Sanusi menjatuhi hukuman itu selepas S. Emaiyarrasan , mengaku melakukan perbuatan ragut ke atas Heng Le Xien, 25, di tepi Jalan Kangsar, Taman Rainbow Kuala Lumpur pada 10.30 pagi 12 Julai 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang sedang menunggu bas telah didekati oleh tertuduh yang menunggang motosikal sebelum meragut beg silang wanita itu.
Tertuduh kemudian berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata mahkamah memandang serius kesalahan jenayah rompak atau ragut yang semakin berleluasa di ibu kota.
“Oleh itu, hukuman berat harus dikenakan kepada kamu sebagai isyarat untuk memberi pengajaran dan ketakutan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun Emaiyarrasan, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan dia terpaksa menanggung keluarga dan isterinya sedang mengandung.
“Saya minta maaf atas kesalahan yang saya buat. Saya buat demikian kerana tidak menerima gaji selama lima hingga enam hari dan tak ada apa untuk bagi makan isteri,” katanya. – BERNAMA
Related posts:
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.