This post has already been read 4314 times!
Polis menemukan satu rangka manusia terlantar di atas tilam di sebuah unit apartment di Kepong di sini, 5 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata pihaknya menerima laporan oleh anak mangsa pada Khamis lepas yang memaklumkan dia tidak dapat memasuki rumah ayahnya kerana berkunci.
“Selepas anak mangsa memecahkan pintu rumah tersebut, beliau melihat ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka sahaja.
“Difahamkan dia tinggal berseorangan selepas bercerai dengan isterinya dan kali terakhir anak mangsa menghubungi ayahnya pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut cerita jama’ah disurau berhampiran, dia berhasrat pulang ke kampung. Mereka beranggapan dia telah pulang ke kampung setelah tidak kelihatan lagi solat disurau berkenaan.
Beliau juga mengajar Al-Quran di Kuaters kerajaan berdekatan.
Ahmad Sukarno berkata bedah siasat ke atas rangka mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Exco Keselamatan Apartmen Mutiara Magna, Kepong Ab Razak Isa, 48, berkata beliau antara individu yang memecahkan mangga pintu rumah tersebut atas permintaan anak mangsa yang sangsi selepas tidak mendengar khabar berita daripada ayahnya.
Jiran, Nurina Alzailani, 37, berkata setiap hari beliau akan melalui di depan unit rumah mangsa untuk menghantar anaknya ke rumah pengasuh namun berasa hairan kerana tidak pernah terhidu bau busuk.
“Sejak empat tahun lepas, saya memang akan lalui kaki lima ini…tidak sekali pun berasa curiga atau berbau apa-apa. Tiba-tiba dengar ada penemuan rangka manusia dalam rumah berkenaan,” katanya. — BERNAMA
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.