

Bagaimana cara memusnahkan sasaran di bawah tanah konkrit dan batu granit tanpa menggunakan senjata nuklear? Jawapannya ialah bom konvensional paling berkuasa di dunia – GBU-57/B Massive Ordnance Penetrator (MOP).
Dengan berat lebih 13,600 kg – bersamaan berat bas pesiaran – bom ini direka dalam bentuk silinder sepanjang 6 meter, berdiameter 0.76 meter.
Dalam konflik antara Iran dan Israell, senjata ini menjadi tumpuan kerana kemampuannya menembusi fasiliti nuklear bawah tanah seperti di Fordo, Iran.
GBU-57/B adalah bom pintar penembus bumi yang dibina selepas perang Iraq 2003, apabila bom sedia ada gagal menembusi bunker yang dalam. Ia membawa bahan letupan seberat 2,400 kg dan menghasilkan impak setara dengan Boeing 747 mendarat laju.
Bahagian hadapan bom berbentuk kon leper untuk kurangkan rintangan udara dan memusatkan tekanan hentaman. Badan bom diperbuat daripada keluli padu untuk memastikan ketumpatan maksimum dan kebolehan menembusi struktur bawah tanah.
Bom ini juga dilengkapi fius pintar yang hanya meletup apabila mencapai kedudukan paling strategik dalam sistem kubu bawah tanah – contohnya bilik kawalan atau terowong utama.
Disebabkan saiz dan beratnya, bom ini hanya boleh dibawa oleh pesawat pengebom B-2 Spirit – pesawat pengebom halimunan tercanggih milik AS. Ia dijatuhkan dari altitud 15,240 meter dan akan menuju ke sasaran dengan panduan GPS dan inersia.
GBU-57/B boleh mencapai kelajuan impak melebihi Mach 1, dan menghasilkan tenaga kinetik sehingga 900 megajoule.
Bom ini direka khas untuk operasi menembusi pertahanan terkuat tanpa keperluan senjata nuklear, sesuai dengan undang-undang antarabangsa yang mengharamkan penggunaan nuklear dalam konflik konvensional.
Sehingga kini, AS tidak pernah berkongsi atau menjual GBU-57/B kepada negara lain, termasuk Israel. Ia kekal dalam simpanan khas Tentera Udara Amerika dan hanya digunakan dalam latihan terhad.
Israel yang pernah berjaya mengebom reaktor nuklear Iraq (1981) dan Syria (2007), tidak mampu melakukan perkara sama terhadap loji Fordo kerana kedudukannya jauh di bawah gunung dan konkrit bertetulang.
Tanpa bantuan GBU-57/B, Israel hanya mampu ganggu loji dari luar melalui serangan siber, pemotongan bekalan atau sabotaj.
Sistem Pertahanan Udara Iran:
- Bavar-373: Mach 5–6, jarak 200–300 km
- Khordad-15: Mach 3–4, jarak 75–120 km
- Sayyad-4: Mach 5–7, versi tinggi untuk Bavar
Kekangan Iran:
- GBU-57/B tidak pancarkan haba seperti peluru berpandu → sukar dikesan
- Dijatuhkan dari pesawat halimunan B-2 Spirit
- Trajektori menegak dan senyap → radar dan peluru sukar bertindak balas tepat waktu
GBU-57/B menjadi satu-satunya pilihan bagi AS untuk memusnahkan struktur bawah tanah yang terlalu kuat seperti Fordo tanpa melanggar larangan penggunaan nuklear.
Namun, keberkesanannya masih tertakluk kepada sasaran dan ketepatan hentaman – mungkin memerlukan lebih dari satu bom bagi menjayakan misi sepenuhnya.
Dalam dunia moden yang mengutamakan ketepatan dan undang-undang antarabangsa, bom ini adalah simbol kekuatan teknologi dan intimidasi strategik yang nyata.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.