KUALA LUMPUR: Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India di sini, diteruskan pagi ini 25 Ogos 2024.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui menerusi pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam yang dijalankan sejak 2 hari lepas.
Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu. FOTO: NSTP
Pasukan SAR terpaksa berdepan dengan cabaran dengan melalui lurang kumbahan dalam keadaan sempit, selain arus deras dan gas beracun di dalam terowong yang boleh menimbulkan risiko kepada penyelamat.
Ketua Polis Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam sidang media malam tadi memaklumkan operasi SAR itu ditangguh pada 7 malam, sebelum memulakannya kembali pagi ini.
Beliau berkata operasi pencarian pada hari ini masih akan ditumpukan di enam lurang berkenaan sehingga ke loji IWK di Pantai Dalam kerana yakin mangsa masih terperangkap di antara kawasan itu. FOTO: NSTP
Mangsa merupakan pelancong dari India, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke sebuah kuil berhampiran.- BERNAMA
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.