




“Jangan sesekali mulakan bisnes dengan wang pinjaman.”- Pesanan Iron Lady Malaysia
Nama Dato’ Maznah Hamid mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi muda hari ini, tetapi beliau merupakan satu nama besar dalam dunia keusahawanan — terutama dalam sektor keselamatan menerusi Securiforce, antara syarikat kawalan keselamatan terbesar di Malaysia. Beliau dikenali ramai sebagai “The Iron Lady” kerana ketegasan dan ketabahan luar biasa dalam membina empayar perniagaan dari bawah.
Dibesarkan di Jerlun, Kedah oleh nenek selepas ibu bapanya bercerai, Dato’ Maznah melalui kehidupan yang penuh cabaran sejak kecil. Sebelum terjun ke dunia perniagaan, beliau bekerja sebagai guru bahasa dan penterjemah di beberapa kedutaan asing di Kuala Lumpur. Di situlah beliau mula terdedah kepada cara berfikir dan gaya hidup golongan elit — dan dari situ, tekad beliau terbentuk: “kekayaan sebenar hanya datang dari perniagaan.”
Langkah Berani & Permulaan Securiforce
Melihat ramai orang kenamaan menggunakan pengawal keselamatan, tercetuslah idea untuk menyertai bidang yang ketika itu belum diceburi ramai usahawan Melayu. Lalu datang satu peluang: mengambil alih sebuah syarikat keselamatan yang hampir bankrap. Dato’ Maznah dan suaminya terus membelinya dengan hanya RM5,000 pada tahun 1980.
Bermula dengan hanya 5 orang pengawal dan 5 pelanggan, pasangan ini buat segalanya sendiri — dari pengurusan, kewangan, operasi hingga menjaga kaunter. Malah, mereka pernah menjadi pengawal keselamatan sendiri ketika Hari Raya: beliau menjaga pasaraya, suaminya menjaga rumah VIP.
Modal yang sedikit memaksa Dato’ Maznah buat pelbagai kerja: jual insurans, mengajar bahasa, terjemah, ejen hartanah dan jualan langsung. Namun bila permohonan pinjaman bank ditolak, mereka buat keputusan besar — jual rumah sendiri dan tinggal di setinggan tanpa elektrik dan air, hanya bayar RM50 sewa sebulan.
Selama dua tahun tinggal dalam keadaan serba kekurangan, pengorbanan itu berbaloi. Wang hasil jual rumah digunakan untuk kembangkan bisnes. Securiforce terus berkembang tanpa bantuan kerajaan atau pinjaman bank.
Empayar Hartanah & Pesanan Untuk Usahawan
Tidak terhenti di bidang keselamatan sahaja, Dato’ Maznah turut mengembangkan perniagaan ke dalam bidang hartanah, logistik dan latihan keselamatan. Beliau membina Pusat Latihan Securiforce untuk melatih pengawal dengan standard profesional, melabur dalam hartanah untuk sokong operasi syarikat, dan menjadikannya sumber aset jangka panjang.
Bagi beliau, hartanah adalah asas kekuatan sesebuah syarikat — memberi kestabilan dan kuasa kewangan sebenar. Antara kata kata semangat Dato’ Maznah Hamid:
1. “Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidakkira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau sahaja dari mana asal usul, paling penting apa akhirnya… anda boleh jadi diri sendiri!”
2. “Saya tidak mahu wanita merasakan mudah tertindas, mereka perlu bangkit dan berani untuk bersuara.”
3. “Kita perlu merintis kehidupan dan bukan sekadar mengikut arus.”
Kisah hidup Dato’ Maznah membuktikan bahawa dengan pengorbanan, ketekunan dan keberanian, kejayaan boleh dicapai walau bermula dari sifar. Semoga kisah beliau terus menjadi inspirasi buat semua yang mahu berjaya dengan cara yang bermaruah.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.