Tulisan dari Facebook Dr. Abdél Rahmanov .

Dua hari lepas ada kawan saya call bertanya tentang NGO yang berjaya mengutip derma Palestin sebanyak RM114 juta dan mengambil caj pengurusan sebanyak RM34 juta.



RM34 juta adalah angka yang cukup besar. Kira-kira 29% untuk caj pengurusan!

Kawan saya kata, “Baik kita berniaga macam ini lah ustaz!

Saya hanya ketawa kecil sahaja.

Tetapi ada betul juga yang kawan saya sebut itu.

Sekarang ini, NGO tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Berpuluh-puluh NGO kita lihat untuk Palestin, Syria, Kemboja dan sebagainya.

Saya difahamkan kerajaan membenarkan NGO mengambil 30% daripada jumlah derma untuk urusan NGO.

Namun jika tiada sebenarnya peraturan 30% itu maka atas dasar apa NGO itu ambil kos pengurusan sampai 29%?

Bukankah ini namanya perompak pada siang hari?

Kita andaikan peraturan 30% itu wujud.

Kalau NGO dapat kutip RM100K maka NGO boleh ambil RM30K.

Jika NGO dapat kutip RM1juta maka NGO boleh ambil RM300K.

Wow! Hebat betul bisnes derma ini. Apatah lagi rakyat Malaysia terkenal dengan sikap dermawan.

Kita juga jarang bertanya adakah duit derma itu benar-benar sampai ke tempatnya sebab kita sentiasa bersangka baik.

Jika NGO menggunakan marketing kaw-kaw dan ustaz selebriti sebagai duta NGO. Pasti duit derma masuk mencurah-curah tanpa henti.

Bisnes derma ini memang berbaloi!

30% adalah peraturan kerajaan namun daripada perspektif syariah, bolehkah NGO mengambil peratusan tertentu daripada wang derma tersebut?

Apabila NGO menubuhkan dana kebajikan maka NGO bertindak sebagai wakil kepada penderma (muwakkil) untuk salurkan bantuan ke tempat yang berkenaan.

Ini merujuk kepada konsep Wakalah.

Wakil perlu bertindak mengikut arahan muwakkil. Jika dana dibuka untuk membina sekolah tahfiz maka duit derma itu perlu disalurkan untuk pembinaan bangunan sekolah tahfiz.

Dalam wakalah, perlu dinyatakan dengan jelas bayaran kepada wakil atau wakalah tanpa upah.

Jika NGO ingin caj kos pengurusan maka NGO perlu nyatakan dengan jelas bahawa ada peratusan tertentu digunakan untuk kos pengurusan NGO.

Jika NGO mengambil kos pengurusan tanpa memberitahu kepada penderma maka NGO itu telah mengkhianati amanah.

Darul Ifta’ Jordan, majlis fatwa berautoriti Jordan menyatakan seperti berikut:

الوكيل مؤتمن وما يدفع إليه من أموال الصدقات أمانة عنده يجب عليه أن يحفظها ويؤديها، وإلا كتب عليه وزر الخيانة، وإن تصرف فيها بغير الوجه المحدد له أو قصر في حفظها فقد تعدى وأثم، ويكون ضامناً لذلك المال، ولا تبرأ ذمته منه إلا بدفعه، يقول الله عز وجل: (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ. (الأنفال:27)

“Wakil sifatnya boleh dipercayai. Apa sahaja wang yang diberikan kepadanya adalah amanah dan dia mesti menjaganya dan menyalurkannya.

Jika tidak, dosa khianat akan ditulis ke atasnya. Jika wakil menguruskannya dengan cara lain daripada ditentukan atau tidak menjaganya dengan baik maka dia telah melampaui batas dan berdosa. Dia menjadi penjamin wang itu dan tidak terlepas daripada tanggungjawab melainkan membayarnya. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ.

“Wahai orang yang telah beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” (Surah Al-Anfal: 27)

Sekiranya NGO ingin mengambil peratusan daripada wang derma untuk urusan NGO maka NGO perlu memaklumkan kepada penderma terlebih dahulu.

Darul Ifta’ Jordan menyebut seperti berikut:

فإذا أراد أن يأخذ من الصدقات فعليه أن يستأذن المتبرعين بذلك، فإن لم يفعل فقد خان الأمانة، واستجاب لما يلبسه الشيطان عليه، ويجب عليه التوبة والاستغفار.

“Jika institusi ingin mengambil daripada wang derma, institusi mesti meminta izin daripada penderma untuk berbuat demikian.

Jika institusi tidak melakukannya maka ia telah mengkhianati amanah dan terpedaya dengan belitan syaitan. Ia wajib bertaubat dan memohon keampunan.”

Dengan itu, NGO perlu menyatakan bahawa peratusan tertentu akan digunakan untuk kos pengurusan NGO.

Dengan cara ini, baharulah bertepatan dengan konsep wakalah.

Pada masa yang sama, caj pengurusan itu perlu berpatutan dan bukan bersifat keuntungan.

Jika NGO tidak mahu menyatakan peratusan yang diambil maka dibenarkan mengambil kadar ujrah mithil (upah standard) sahaja.

Perkara ini diputuskan oleh Akademi Fiqh Islam Rabitah Alam Islami, majlis fatwa antarabangsa yang berpusat di Makkah, seperti berikut:

أنه لا مانع من أخذ نسبة معينة، إلا أنه يرى ألا تحدد تلك النسبة، وإنما تكون أجرة المثل، أو أقل من أجرة المثل، وتدفع لهم بقدر عملهم، لأن هذا المال إنما هو لإعانة المنكوبين، وإغاثة الملهوفين.

“Tiada tegahan untuk institusi mengambil peratusan tertentu, kecuali institusi merasakan peratusan itu tidak sepatutnya dinyatakan maka ia perlu berdasarkan ujrah mithil, atau kurang daripada ujrah mithil, ia dibayar kepada institusi berdasarkan kerja mereka. Ini kerana wang derma ini untuk menolong orang susah.”

Kita tidak mahu terjadi senario NGO kutip derma untuk Palestin tetapi CEO pakai kereta Merc!

NGO juga perlu insaf bahawa duit derma bukan untuk menampung kos marketing iklan di media massa, media sosial atau memasang billboard di tepi highway dan sebagainya.

Benar dalam dunia digital, peratusan besar kos digunakan untuk marketing tetapi NGO bukan perniagaan!

NGO perlu ingat duit derma adalah amanah dan akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti.

Biar kerja NGO menambah pahala dan bukan menambah dosa. Salam hormat.

Dr. Abdél Rahmanov
16 Oktober 2023

Nota:
Tiada peraturan kerajaan yang membenarkan NGO mengambil 30% daripada kutipan wang derma.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

advanced-floating-content-close-btnForum link.
advanced-floating-content-close-btn