“ENCIK, saya tak takut peluru (ditembak). Saya mesti lari punya,” kata Kim (bukan nama sebenar) kepada Deputi Superintendan Penjara, Mohd Ali Che Embi yang ditugaskan mengawal ketat pergerakannya di Penjara Kuantan, Pahang.

Itulah antara gurauan hampir setiap hari Kim apabila Mohd Ali datang menjalankan rutin harian memastikan banduan itu diberi kawalan ketat dan tumpuan yang lebih berbanding tahanan lain.

Pada awalnya, perkara itu cuma dianggap Mohd Ali sebagai jenaka semata-mata kerana beranggapan Kim cuba mengurangkan tekanan akibat terperuk di sel penjara.

Namun, ternyata banduan itu benar-benar mengotakan kata-kata apabila empat kali melarikan diri dari penjara.

Kim adalah antara banduan yang dianggap sebagai ‘otai’ oleh Mohd Ali kerana memecah rekod melarikan diri dari penjara sebanyak empat kali iaitu Penjara Kuantan (dua kali), Penjara Pulau Pinang dan Penjara Pudu masing-masing sekali.

Bagi Mohd Ali, sepanjang berkhidmat selama 35 tahun sebagai warden penjara bermula 1971 sehingga bersara sebagai sebagai Penguasa Penjara Kajang pada 20 Februari 2006, Kim adalah satu-satunya banduan yang membuatkan penguasa penjara perlu sentiasa peka dan memantau dengan rapi.

Mohd Ali Che Embi

Namun, perkara itu kadangkala membuatkannya tersenyum mengenangkan gelagat banduan di bawah kawalannya. Kim ditahan bersama beberapa rakannya kerana menembak seorang pegawai penyiasat polis yang digelar Mat Yankie pada tahun 1977 dan ditempatkan di Penjara Kuantan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Dulu, sebahagian besar Penjara Kuantan dibina menggunakan kayu dan papan, cuma tembok dan menara saja menggunakan konkrit. Tembok pun agak rendah (anggaran 3 meter), sebab itu banduan kerap meloloskan diri.

“Pada tahun 1979, sembilan banduan melarikan diri pada sebelah malam. Mereka keluar melalui dinding kayu dan jeriji besi sebelum memanjat tembok menggunakan paip getah yang disambung,” kata Mohd Ali.

Disebabkan petugas waktu malam yang agak terhad, pergerakan kumpulan yang melarikan diri lambat disedari. Pengawal hanya menyedari kejadian apabila melihat banduan terakhir memanjat tembok dan membunyikan siren kecemasan.

Gerakan memburu dijalankan dan sebahagian daripada banduan itu berjaya ditangkap semula tetapi Kim terus menghilangkan diri.

Pada awal tahun 1981, Kim berjaya ditangkap semula di negeri kelahirannya di Pulau Pinang di atas pelbagai kesalahan, termasuk kes bunuh Mat Yankie. Banduan itu dibawa ke Penjara Pulau Pinang dan sekali lagi peristiwa melarikan diri berulang.

Ketika itu, Kim berpura-pura sakit lalu dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan tetapi diberikan kawalan ketat kerana mempunyai rekod melarikan diri sebelum ini.

Entah di mana silapnya, Kim berjaya melepasi kawalan pasukan pengiring yang menjaganya dan melarikan diri. Sejak itu, dia gagal dijejak sehinggalah tiga tahun selepas itu apabila dia ditangkap semula.

“Pada tahun 1984, dia dihantar ke Penjara Kuantan untuk perbicaraan kes membunuh pegawai polis pada tahun 1971 dan sekali lagi dia diberikan perhatian istimewa. Dia ini bukan calang-calang, sentiasa ada idea nak melarikan diri.

“Atas sebab itulah, pengarah memberikan saya tugas khas menjaganya. Saya kena pastikan dia akan dibawa keluar setiap pagi untuk rutin membersihkan tong najis dan mandi. Selepas selesai, barulah banduan lain dibenarkan keluar dari sel masing-masing,” katanya. Disebabkan itulah, Kim kerap bergurau dengan Mohd Ali kerana hanya beliau saja yang dibenarkan menguruskan pergerakan banduan itu.

“Satu kali you (awak) lari, satu paku (pangkat) mari”. Itulah antara gurauan yang membuatkan Mohd Ali tidak kering gusi apabila berbual dengan Kim.

Ketika kali pertama bertemu, Mohd Ali berpangkat Inspektor dan ketika kali kedua, beliau sudah pun dinaikkan pangkat sebagai Deputi Superintendan Penjara.

Perbualan seperti ini membuatkan beliau kadang kala tersenyum sendirian namun, setiap kali mereka bertemu, Kim mengatakan dia akan melarikan diri pada suatu hari nanti dan tidak takut ditembak.

Memang benar, sepanjang tempoh ditahan dan menunggu perbicaraan, Kim merancang untuk melarikan diri kali kedua dari Penjara Kuantan.

Akhirnya pada tahun 1985, dia bersama seorang lagi banduan dikenali sebagai Michael, melarikan diri. Kali ini, mereka melarikan diri di waktu siang selepas merampas senjata api pengawal tembok berhampiran kantin.

Mereka mengugut untuk menembak sesiapa saja yang cuba mendekati dan mengacukan senjata kepada sesiapa saja, termasuk orang ramai. “Keadaan ketika itu agak panik. Kami hairan bagaimana dia boleh keluar daripada blok penjara dan berlari ke arah tembok untuk rampas senjata.

Kami percaya dia sudah lama memerhatikan pergerakan petugas di menara kawalan.

GAMBAR banduan di Penjara Pudu pada tahun 1975. – Foto NSTP

“Ketika itu, seorang pegawai meletakkan senjata di dinding menara. Michael memang berbadan besar dan tinggi. Jadi, Kim panjat badan Michael dan berdiri di atas bahu untuk rampas senjata.

“Disebabkan panik kerana banduan bersenjata, kami tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah mereka keluar dari kawasan penjara dan terus hilang.

Padahal senjata itu sebenarnya tiada peluru. Kami langsung tidak memikirkan perkara itu kerana tidak mahu mereka melepaskan tembakan dan mencederakan sesiapa,” katanya. Mereka menahan sebuah kereta dengan mengacukan senjata api kepada pemandunya dan merampas kenderaan untuk melarikan diri.

Kim sekali lagi menghilangkan diri namun tiga tahun selepas itu, dia ditangkap sekali lagi. Kali ini, polis turut merampas senjata automatik M-16 dan bom tangan dipercayai digunakan untuk merompak.

Selepas dibicarakan pada tahun 1989, Kim dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan hukuman sebat 24 rotan. Kali ini, dia ditempatkan penjara lebih moden dan selamat iaitu Penjara Pudu di Kuala Lumpur.

Di Penjara Pudu, Kim bukanlah banduan bertaraf ‘bintang’ walaupun mempunyai rekod jenayah berat dan kerap melarikan diri kerana ketika itu, penjara berkenaan penuh sesak dengan banduan yang lebih ganas dan banyak kes berat lain berbanding kes Kim.

Malahan, tembok penjara Pudu juga lebih tinggi dan sukar ditembusi berbanding Penjara Kuantan. “Dia gunakan cara lain untuk lari. Memang dia menantikan hukuman sebat kerana kesan luka itulah senjatanya untuk melarikan diri.

Kebiasaannya, banduan yang disebat akan luka untuk tempoh jangka panjang. “Jadi, dia korek luka sehingga berdarah dan membiarkannya bernanah. Warden terpaksa menghantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Ketika itulah dia melarikan diri dan terus hilang hingga ke hari ini,” katanya.

Mengimbau detik ketika rapat dengan Kim sepanjang tempoh enam bulan mengawasinya, Mohd Ali berkata, beliau pernah bertanyakan kenapa masih melakukan jenayah walaupun sudah bebas dan hidup mewah hasil merompak.

PEMANDANGAN di luar Penjara Pudu yang dihiasi mural, yang dilukis oleh penghuninya. – Foto NSTP

“Dia cakap pernah lari ke Bangkok. Badan penuh dengan tatu Buddha. Dia percaya amalan itu membuatkannya berasa kebal. Dia akan pulang ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang dan bot hanya untuk merompak dan lari semula ke sana.

“Saya tanya kenapa tak berhenti saja sebab sudah banyak harta. Dia jawab: ‘Saya mahu nama, bila mereka (kumpulan) panggil, saya mesti turun. Mesti jaga nama’,” katanya yang percaya Kim mahu membuktikan kehebatannya dalam kalangan ahli kumpulan dan gengster yang lain.

Sehingga kini, Mohd Ali sendiri tidak pernah menerima berita mengenai Kim. Namun, ada maklumat tidak rasmi mengatakan dia melarikan diri ke Bangkok, Thailand dan mati ditembak di sana.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

advanced-floating-content-close-btnForum link.
advanced-floating-content-close-btn
advanced-floating-content-close-btnKlik Lazada