5 mins read

Drama tebusan Majistret Penjara Kuantan 1987

This post has already been read 1688 times!

Satu kejadian mencemaskan apabila seorang magistret wanita telah dijadikan tebusan oleh tiga orang banduan di Penjara Kuantan.

Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1987 dan belum pernah berlaku peristiwa seumpama ini dalam sejarah sebuah penjara di Malaysia.

Dalam kejadian berkenaan tindakan banduan warga asing bersenjatakan besi tajam menjadikan seorang majistret wanita sebagai tebusan masih sukar dilupakan oleh bekas Timbalan Penguasa Penjara Kuantan Mohd Ali Che Embi.

Mohd Ali Che Embi

Setiap detik cemas pada pagi 7 Januari 1987 itu masih segar dalam ingatan beliau. Pada Jam 10:30 pagi hari kejadian, kira-kira 100 banduan reman mula beratur memasuki bangunan yangmenempatkan dewan kecil di satu blok kayu untuk mendengar perintah lanjut reman atau penetapan tarikh bicara.

Majistret Mariana Yahya mula menjalankan tugas, satu persatu banduan dikenakan perintah reman, ada disambung tahanan, ada ditetapkan tarikh perbicaraan di situ.

Suasana tenang bertukar menjadi cemas dalam sekelip mata apabila banduan kelima menyebu ke arah Mariana, diikuti banduan keenam dan ketujuh.

Mariana dijadikan tawanan tiga banduan bersenjatakan tiga batang besi diasah tajam.

Tindakan tanpa diduga itu membuatkan pengawal pengiring tergamam dan gagal melindungi Mariana, walaupun mereka sempat membunyikan wisel amaran, mereka tidak dapat bertindak lanjut.

Semuanya berlaku begitu pantas, Mariana menjadi tebusan oleh tiga banduan warga Indonesia iaitu Ahmad Muhamad Nor, Agus Salim serta Ahmad Sulaiman.

Mereka mengawal keadaan dan mula membuat pelbagai tuntutan semata-mata mahu melarikan diri.

Bermula dengan permintaan untuk mendapatkan sebuah kereta, wang tunai dan paling penting mereka juga mahu mengheret sekali Mariana bersama mereka untuk dijadikan perisai dari sebarang tindakbalas polis.

Baca Juga   Rangka disahkan milik Muhammad Shafiq Salihin

Penguasa Kanan Penjara Kuantan Abdul Rahim Uthman yang ketika itu berada di pejabatnya yang terletak kira-kira 30 meter dari blok yang menempatkan bilik sementara kes perintah reman itu.

Menurut Mohd Ali, beliau bekerja Shif malam dan pada awal pagi itu dia masih sempat menyelesaikan kerja di bahagian rekod, kerana ada beberapa banduan akan dibebaskan dan beliau ditugaskan menyelesaikan urusan pembayaran gaji mereka serta beberapa prosedur berkaitan.

Muhammad Ali maklum tentang kehadiran seorang majistret ke penjara itu untuk menyelesaikan kes lanjutan raman dan sebagainya, dia yang telah pulang ke rumah pada pagi itu tiba-tiba telah dimaklumkan dengan satu kes banduan menawan majistret.

Dia diarahkan untuk bertugas semula dan masuk ke dalam kompleks penjara untuk memantau situasi. Selepas menawan Mariana ketiga-tiga banduan itu mula keluar dari blok bicara reman dan menuju ke arah blok pejabat pengurusan walaupun cuba dihalang, mereka mengugut akan menikam tebusan dengan besi tajam.

Pengawal penjara terpaksa akur demi menjaga keselamatan Mariana. Agus Salim merampas pistol disimpan di bilik penguasa penjara membuatkan mereka lebih berani untuk mengugut.

Menurut Mohd Ali lagi, dalam situasi penuh cemas itu, banduan-banduan itu telah membuat pelbagai tuntutan termasuk sebuah kereta untuk melarikan diri.

Dia dan pasukannya ketika itu cuba melengahkan mereka sebaik mungkin sementara bantuan polis tiba. Tidak lama kemudian satu Unit Tindakan Khas UTK PDRM tiba bersama Ketua Pengarah Penjara Datuk Ibrahim Mohamad.

Unit Tindakan Khas PDRM bersiap sedia mengambil posisi di Kompleks Penjara Kuantan

Unit Tindakan Khas PDRM mengambil kedudukan strategik termasuk di bilik rekod yang terletak 30 meter dari bilik tawanan. Perunding penjara diketuai Datuk Ibrahim berjaya melengahkan mereka dan cuba memujuk supaya menyerah diri serta membebaskan Mariana. Banduan-banduan itu terus dipujuk dengan memberikan alasan termasuklah semua permintaan itu mesti mendapat kelulusan pihak atasan dan mengambil masa yang agak lama.

Baca Juga   Penjenayah Mat Komando dan Geng 13 tumpas setelah diburu 255 hari

Strategi itu berjaya mengganggu fokus banduan dan melemahkan mereka dari aspek psikologi kerana terpaksa berjaga sepanjang malam berikutan bimbang di serbu anggota UTK. Tiba-tiba seorang banduan bertindak agresif cuba menawan Datuk Ibrahim pula.

Mereka bergelut dan dengan serta merta anggota UTK menyerbu masuk. Muhammad Ali terdengar beberapa das tembakan dan dua banduan tumbang serentak.

Hanya Ahmad Mohamad banduan yang masih hidup telah berjaya ditahan manakala Agus Salim dan Ahmad Sulaiman mati di situ juga.

Mariana selamat daripada situasi itu dan cuma mengalami luka kecil di leher akibat terkena beri tajam.

Muhammad Ali berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga banduan itu mencabut batang besi dipasang pada lubang angin di lantai blok A untuk dijadikan senjata.

Blok bangunan di bina menggunakan kayu, maka mudahlah untuk mereka mencabut dan mengasah batang besi sehingga tajam dan rancangan untuk melarikan diri ini sudah dirancang lama oleh mereka.

Ahmad Mohamad Nor didakwa bersama Agus Salim dan Ahmad Sulaiman tuduhan menculik dan mengurung Mariana dengan niat menjadikannya tebusan .

Ahmad bekas pekerja ladang di Jerantut dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Tinggi selepas mendapati bersalah memiliki senjata api mengikut kanun keseksaan.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.