Toyota Starlet ialah jenama popular kalangan muda-mudi pada era 80’an dan 90’an.
Hasrat untuk mengembalikan model berkenaan ke pasaran diluah oleh Tomoya Takahashi, 45, Presiden baru Toyota Gazoo Racing.
Takahashi juga menjelaskan bahawa dia sendiri mula berlumba dengan Toyota Starlet GT!
Beliau mula berkecimpung dalam perlumbaan kereta sejak zaman universiti, bermula dengan memiliki Toyota Starlet GT EP82, kemudian beralih kepada Starlet GT EP82 versi facelift, dan selepas itu ke model generasi terakhir Starlet iaitu Glanza V EP91.
Takahashi kemudian diterima berkerja di Toyota pada tahun 2002, dan sejak itu beliau berazam untuk menghasilkan sebuah hot-hatch dengan logo Toyota yang lebih baik dari Civic Type R EK9.
Impian Takahashi itu dilihat semakin hampir apabila dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Kereta Sport Toyota pada 2016.
Beliau dilantik sebagai pengurus besar Jabatan Promosi Projek GR pada 2021, dan kemudian menjadi pengurus besar Jabatan Pembangunan Kenderaan GR sebelum dilantik ke jawatan presiden Toyota Gazoo Racing tahun ini.
Nama Starlet bermula pada tahun 1973 sebagai varian untuk Toyota Publica, digelar sebagai Publica Starlet (kod casis KP40), dihasilkan dalam versi sedan dan coupe.
Namun untuk generasi seterusnya bermula 1978, ia terus digelar sebagai Toyota Starlet (KP60/KP61) dan dihasilkan dalam bentuk hatchback lima- dan tiga-pintu.
Bercirikan badan yang ringan serta datang dalam konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, Starlet dengan enjin 4K 1.3 liter dan 5K 1.5 liter menjadi pilihan ramai terutama peminat kereta lumba.
Starlet kemudiannya berubah menjadi hatchback pacuan hadapan bermula model generasi ketiga (EP70/EP71), seterusnya model Starlet Turbo, dijana enjin 1,295 cc 12-injap dengan pengecas turbo menghasilkan 105 PS/150 Nm.
Pengeluaran diteruskan dengan model Starlet GT Turbo EP82 pada generasi kelima dengan enjin 1,331 cc 16-injap 4E-FTE berkuasa 135 PS/157 Nm pada 1990, diikuti model generasi kelima Starlet Glanza V juga dengan enjin 4E-FTE tetapi dengan kuasa meningkat kepada 140 PS.
Produksi Starlet tamat pada 1999, dan selepas itu hatchback kompak Toyota digantikan dengan Vitz/Yaris.
Pada tahun 2020, nama Starlet diguna semula oleh Toyota untuk pasaran Afrika Selatan.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.