1 min read

[Video] Anaas, Sampai hati kamu bunuh anak ibu

This post has already been read 2976 times!

Hairil Anaas Abdullah, 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret

1 Julai 2024 (Bernama) — Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah di sini, dua minggu lepas.

Hairil Anaas Abdullah, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian Nisya Syahkila Shaharun, 32, di bilik sebuah hotel di Pekan Batu Gajah di sini, antara 7.30 pagi hingga 2 petang, 20 Jun 2024. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 9 Ogos 2024 bagi sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat dan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 20 Jun 2024, Hairil Anaas ditahan di Balai Polis Batu Gajah kira-kira pukul 2 petang selepas menyerah diri, dan memberitahu dia telah membunuh isterinya di sebuah bilik hotel.

Sementara itu ibu kepada Nisya Syahkila, Rozita Radzuan, 56, yang berada di pekarangan mahkamah kelihatan dalam keadaan sebak, jelas tidak dapat menahan kesedihan semasa mengalirkan air matanya. “Anaas, sampai hati sanggup kamu bunuh anak ibu, Nisya itu baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu,” suaranya yang menahan sebak jelas kedengaran semasa dia cuba ditenangkan ahli keluarga.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

Baca Juga   Cinta 3 segi menjadi punca pembunuhan keatas janda anak satu