IPOH:
Seorang bapa empat anak dihukum penjara 21 tahun dua bulan selain 14 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret di atas 13 tuduhan menipu bantuan eKasih.
Muhammad Halmi Ismail, 49, mengaku bersalah sebaik selesai empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif dan sembilan lagi di hadapan Majistret S Punitha.
Lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun serta 14 sebatan selepas kedua-dua Majistret memerintah hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh sabitan hari ini.
Di hadapan Majistret Siti Nora, tertuduh didakwa dengan curang menipu empat lelaki warga emas berusia antara 65 hingga 76 tahun dengan curang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM2,150 untuk dapatkan tawaran bantuan eKasih yang tidak wujud.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga bank berbeza di sini pada waktu berbeza, antara 23 Januari hingga 22 April tahun ini.
Di hadapan Punitha, Muhammad Halmi didakwa dengan curang menipu tujuh lelaki dan dua wanita kesemua warga emas berusia antara 60 hingga 77 tahun dengan curang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM4,230 untuk dapatkan tawaran bantuan eKasih yang tidak wujud
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sembilan lokasi berbeza di sekitar Ipoh pada waktu berbeza antara 1 Januari hingga 23 Jun 2024
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.