This post has already been read 1993 times!
9 Mei 2024, Seorang akauntan ijazah kelas pertama didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaib kehormatan rakan sekerja wanita dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi dalam tandas pejabat syarikat.
Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman, mengenakan denda terhadap tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan Chong Soon Hoe, 25 dituduh mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara merakam kehormatan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat dekat Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah di sini, pada 7 Mei lalu jam 4.30 petang.
Mengikut fakta, mangsa seorang ejen cukai dan bekerja di syarikat terbabit kira-kira setahun setengah terlihat CCTV itu tersembunyi dalam plastik tisu ketika berada dalam tandas pada hari kejadian.
Apabila memeriksanya menggunakan komputer riba, mangsa mendapati CCTV itu dipasang oleh tertuduh dan terdapat rakaman video dirinya dalam tandas.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam bela, Kent Tan Chow Teng.
Tertuduh seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang perakaunan, masih muda, tiada rekod kesalahan lampau serta menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.