Ceroboh dan Curi Pasir

RAUB, 25 JUN 2025:

Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri Pahang di Sungai Cherpai, Bentong.

Tertuduh, Cheng Choon Foo, 48, didapati bersalah menduduki tanah kerajaan Negeri Pahang yang dijadikan tempat mengorek pasir sungai bagi dijadikan simpanan stok.

Cheng Choon Foo turut berdepan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda seperti mana yang diperintahkan Hakim, Noor Zaihan Mohamad Ali.

Noor Zaihan dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan dua buah jengkaut dan sebuah lori yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang dan dikembalikan kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang untuk dilupuskan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketika serbuan pada 30 November 2023 jam lebih kurang 11.05 pagi, anggota operasi terjumpa satu simpanan stok pasir serta kawasan pengorekan pasir sungai di kawasan disyaki tanah kerajaan.

Tertuduh yang mengaku sebagai pengusaha pasir di kawasan tersebut telah menunjukkan satu dokumen permit 4B kepada anggota serbuan, namun, setelah disemak, kawasan korekan pasir tersebut berada di luar daripada permit yang diluluskan.

Hasil semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati tiada sebarang kebenaran diberikan kepada tertuduh dan koordinat lokasi serbuan tidak berada di dalam mana-mana tanah yang diukur halus.

Tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) revised 2020 yang boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam telah meminta pengurangan kerana tidak memiliki pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penjaga kebun selain mempunyai empat anak dibawah tanggungannya termasuk perlu menjaga ibunya yang sedang sakit.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Hasmadi Mahyudin. -PAHANGMEDIA

 

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

advanced-floating-content-close-btnForum link.
advanced-floating-content-close-btn
advanced-floating-content-close-btnKlik Lazada