Cerita berikut menjadi iktibar proses perundangan tempang menyebabkan kezaliman.

Di Facebook, seorang peguam yang dikenali sebagai, Ujen Suzana Norlihan berkongsi kes mahkamah anggota polis difitnah merogol wanita warga asing sehingga tertuduh disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan.

Peguam Ujen Suzana Norlihan menceritakan pengalamannya mengendalikan kes seorang pelanggan yang merupakan anggota polis bagi membela kes rayuan atas tuduhan rogol.

Anggota polis tersebut sebelum ini kalah dalam perbicaraan terdahulu yang dikendalikan oleh peguam lain.Peguam Ujen Suzana Norlihan telah dilantik sebagai peguambela kes mahkamah rayuan seorang anggota polis yang telah dituduh merogol seorang wanita warga asing.

Berikut penceritaan oleh Peguam Ujen Suzana Norlihan:Semasa anakguam saya sedang buat tugas rondaan bersama seorang rakan polis, beliau telah nampak satu kereta Alza parkir di tepi jalan di sebuah kawasan perumahan.

Apabila diperiksa, didapati terdapat sepasang kekasih yang sedang melakukan hubungan intim. Beliau kemudian menahan mereka selepas meminta mereka pakai semula baju. Kejadian pada waktu itu adalah dalam pukul 3.00 pagi.

Anakguam saya kemudian membawa pasangan kekasih tersebut ke balai polis menggunakan kereta ronda polis manakala rakan beliau memandu kereta alza.

Semasa di dalam perjalanan ke balai polis, pasangan kekasih tersebut merayu-rayu kepada anakguam saya agar tidak melaporkan hal tersebut kerana bimbang akan dibuang dari universiti, tempat mereka sedang menuntut.akhirnya anakguam saya memberi nasihat dan membebaskan mereka.

Wanita yang ditahan tersebut kemudian meminta nombor telefon anakguam saya atas alasan ingin belanja beliau makan pada hari lain kerana ingin berterima kasih atas ihsan pihak polis.

Keesokkan harinya, wanita tersebut menghubungi anakguam saya dan memberitahu memerlukan bantuan kerana telah dipukul oleh teman lelakinya. Wanita tersebut meminta anakguam saya pergi ke kediamannya. Apabila sampai di lokasi, wanita tersebut telah berada di hadapan guard house apartmentnya.Wanita tersebut didapati sedang menangis.

Jadi anakguam saya menasihati beliau agar pergi membuat laporan polis. Wanita tersebut bersetuju. Mereka pergi ke balai polis menaiki kereta anakguam saya. Sampai di balai, wanita tersebut terus pergi ke tandas balai polis kerana katanya ingin buang air kecil.

Setelah beberapa minit kemudian, wanita tersebut keluar dari tandas. Wanita tersebut kemudian menyatakan mahu membatalkan niatnya untuk melaporkan perbuatan teman lelakinya. Setelah puas dipujuk oleh anakguam saya agar wanita tersebut buat laporan polis, wanita tersebut tetap enggan berbuat demikian.

Akhirnya, anakguam saya terpaksa akur dan terpaksa menghantar wanita tersebut balik ke rumah.

Keesokkan harinya, tiba-tiba anakguam saya mendapat tahu bahawa wanita tersebut telah membuat laporan polis menyatakan anakguam saya telah merogolnya di tandas balai polis.

Anakguam saya kemudian dituduh bagi kesalahan merogol wanita tersebut. Setelah perbicaraan yang panjang, anakguam saya telah kalah kes.

Semasa saya mengendalikan rayuan beliau, saya berasa sangat sedih kerana peguam asal tidak pernah mengemukakan laporan perubatan anakguam saya yang mengesahkan bahawa beliau adalah seorang yang mati pucuk.

Laporan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak hospital 6 bulan sebelum anakguam saya bertemu wanita tersebut.

Jadi, mustahil ianya suatu rekaan. Semasa saya kendalikan rayuan beliau, saya telah menghubungi pihak hospital dan disahkan anakguam saya masih mengidap penyakit tersebut. Ketika rayuan, mahkamah memang tidak dapat menerima bukti baru atas alasan ianya mestilah dikemukakan sewaktu perbicaraan oleh peguam asal. Dokumen atau bukti baru tidak boleh dikemukakan di peringkat rayuan.

Selain itu juga, disebabkan peguam asal tidak membaca laporan doktor atau laporan perubatan terhadap pemeriksaan yang dijalankan terhadap wanita tersebut, peguam asal telah gagal untuk menyoal saksi-saksi tentang keadaan wanita tersebut yang berada dalam keadaan haid sewaktu kejadian rogol dikatakan berlaku.

Malah, jika benar perbuatan rogol berlaku di dalam tandas tersebut, peguam asal sepatutnya menyoal pegawai penyiasat tentang DNA atau darah haid yang mungkin terdapat pada dinding tandas, pintu bahagian atas, mangkuk tandas, lantai tandas memandangkan wanita tersebut mengatakan anakguam saya ada memegang kemaluannya dan kemudian memegang pula dinding tandas, mangkuk tandas, pintu tandas dan bahagian atas pintu tandas (possibilty terdapat kesan DNA tidak boleh ditolak begitu sahaja).

Wanita tersebut tidak pernah mengatakan anakguam saya ada mencuci tangannya. Kalau ikut logik, mesti darah haid melekat pada tangan anakguam saya. Banyak lagi hujah tidak ditimbulkan atau disoal oleh peguam asal terutama sekali kesan koyakan akibat berzina dengan teman lelaki.

Pembelaan yang dibangkitkan oleh peguam asal hanyalah penafian semata-mata. Disebabkan banyak yang tidak ditumbulkan, maka anakguam saya kalah kes.

Oleh itu, tidak banyak yang dapat saya lakukan walaupun Hakim bersetuju dengan hujah yang telah dikemukakan.Akan tetapi, Yang Arif mengatakan sepatutnya hujah DNA dan laporan perubatan ditimbulkan oleh peguam asal sewaktu perbicaraan. Di peringkat rayuan, semua itu sudah tidak boleh ditimbulkan lagi.

Hasil fitnah dan penganiayaan tersebut, anakguam saya telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan (lepas buat mitigasi kurangkan hukuman). Paling menyedihkan selepas selesai menjalani beberapa sebatan (tidak dapat menghabiskan 10 sebatan tersebut), beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Penjara Kajang pada Disember 2020.

Sewajarnya mahkamah boleh saja mengarahkan perbicaraan semula untuk memastikan sabitan adalah selamat dan tidak menzalimi yang dituduh.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

advanced-floating-content-close-btnForum link.
advanced-floating-content-close-btn
advanced-floating-content-close-btnKlik Lazada