This post has already been read 7857 times!

MELAKA: 25 Julai 2024 Seorang bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh , hari ini, kerana menipu seorang guru sambilan tidak terlatih (GSTT) berkaitan pembayaran balik emolumen berjumlah lebih RM30,000 pada 2017. Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Anuar Mat Zin, 39, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, pada sebutan kes berkenaan, hari ini. Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang GSTT, Mohd Zulhilmi Ismail, 38, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa Resit Rasmi No R0000519 bagi maksud penerimaan bayaran balik emolumen bagi imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun sara hidup (COLA) dan elaun khidmat awam (EKA) kerana peletakan jawatan JAIM-KPM (01/12/2016-30/11/2017) berjumlah RM30,749.88, adalah tulen. Dia dituduh dengan curang mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM30,749.88, yang mana pengadu tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM di sini, antara 3 hingga 8 November 2017. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ketika dituduh kali pertama pada 30 Ogos tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menipu empat GSTT berkaitan bayaran balik emolumen berjumlah RM154,864.40. Namun, tertuduh melalui peguamnya mengemukakan representasi dan ia diterima oleh pihak pendakwaan yang bersetuju menawarkan empat pertuduhan pilihan. Tertuduh hanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan pertama, manakala baki tiga pertuduhan pilihan diambil pertimbangan atau ‘take into consideration’ (TIC) oleh mahkamah selaras dengan peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah, selepas dimaklumkan pihak pendakwaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Nazri Abd Hamid. Terdahulu, pendakwaan tidak membantah rayuan tertuduh supaya dikenakan hukuman denda sahaja sebagaimana dipersetujui dalam representasi yang dikemukakan. Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman denda yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama. “Kesalahan dilakukan adalah serius, justeru pendakwaan mencadangkan denda minimum RM50,000 hingga RM80,000,” kata Mohamad Azriff Firdaus. Bagaimanapun, Mohd Nazri merayu tertuduh dikenakan hukuman denda ringan kerana anak guamnya adalah bapa tunggal yang menanggung tiga anak berusia 15, 13 dan 11 tahun yang masih bersekolah, selain menjaga ibu bapa tidak bekerja. “Tertuduh kini bertugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor dan hanya menerima separuh gaji selepas didakwa atas kesalahan ini, selain bakal berdepan tuntutan saman sivil daripada pengadu (GSTT) dalam kes ini,” katanya. Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman denda RM50,000 ke atas tertuduh atau lapan bulan penjara jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda itu. Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh adalah penolong pegawai tadbir (N27) di Pejabat Sumber Manusia JAIM, yang bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan dalam menguruskan hal berkaitan perkhidmatan guru agama bagi sekolah menengah dan rendah, hal gaji serta kontrak. Pada Mei 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menerima aduan mendakwa tertuduh menyediakan Surat Tuntutan Bayaran Balik Gaji Terlebih Bayar kepada empat guru, termasuk Mohd Zulhilmi. Hasil siasatan mendapati tertuduh didakwa membuat dan menandatangani surat bertarikh 3 November 2017 (bagi tuntutan November 2016 hingga November 2017) kepada Mohd Zulhilmi berjumlah lebih RM30,000, dan bayaran dibuat pengadu antara 3 hingga 19 November 2018 di Bahagian Khidmat Pengurusan JAIM sebagaimana dalam surat tuntutan. Namun, wang dikatakan dibayar kepada tertuduh itu disahkan tidak diterima oleh pihak JAIM, selain resit rasmi dikeluarkan adalah palsu, sehingga membawa kepada penangkapannya pada 7 September 2021.

Penafian
Baca Juga   Doktor Pakar dipenjara 5 Tahun kerana voyeurisme(gian mengendap)

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

Perlu Bantuan?
ms_MYMalay