This post has already been read 10275 times!

Zaim Ikhwan Zahari (kanan) dan Ismanira Abdul Manaf (dua, kiri) ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. – Foto BERNAMA

26 Julai 2024

PETALING JAYA: Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) dikeluarkan terhadap lima Tiktokers yang didakwa memuat naik kandungan bersifat subjudis terhadap ibu bapa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin. Peguam bela, Fahmi Abd Moin, yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, memaklumkan kepada Hakim, Dr Syahliza Warnoh, ada lima akaun TikTok menggunakan nama:

  1. CEO Zayn Rayyan;
  2. Myraskitchen00;
  3. cikpika_pika_ii;
  4. BeMalaysian 2.0 dan
  5. Malaikat Maut 382;

Akaun berkenaan dikesan menyiarkan kandungan seolah-olah buli siber terhadap anak guamnya.

“Sejak kes ini disiasat dan didakwa, kami memantau pautan video di aplikasi TikTok, banyak video-video dimuatnaik dan siaran langsung dibuat Tiktokers yang bagi kami menyajikan kandungan merosakkan dan bersifat subjudis dan boleh dikatakan buli siber kepada tertuduh, keluarga dan peguam. Peguam bela, Fahmi Abd Moin, yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan mengadakan sidang media di hadapan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini. –

“Kelima-lima akaun TikTok ini memuat naik video mengecam, berbau hasutan dan komen subjudis kepada anak guam. “Kami mohon akaun ini diberikan gag order, dan sekiranya mereka melanggar perintah ini besar kemungkinan kami akan membuat laporan polis untuk memberhentikan tindakan mereka ini,” katanya dalam prosiding sebutan kes pertama bersama peguam, Ilyani Khuszairi.

Mendengar permohonan pihak pembelaan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar, berkata memandangkan perkara itu baru diberitahu kepada pendakwaan pagi ini, pihaknya masih belum sempat meneliti akaun-akaun berkenaan.

Baca Juga   Peguam di reman kes Rasuah RM1.6 Juta

“Kami memohon pihak pembelaan membuat satu permohonan baharu disertakan afidavit untuk ditunjukkan kepada mahkamah. Pada peringkat ini, kami rasakan permohonan perintah larangan bersuara adalah pramatang, namun saya serah kepada budi bicara mahkamah,” katanya.

Mendengar jawapan daripada Nurul Qistini, Fahmi bagaimanapun memohon mahkamah untuk memberikan satu notis kehakiman sebagai amaran kepada kelima-lima individu berkenaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Dr Syahliza tidak memberikan sebarang perintah larangan bersuara, bagaimanapun mengarahkan pihak pembelaan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang relevan, sekiranya ada kandungan mengundang komen subjudis yang menghina mahkamah.

“Pada prosiding sebelum ini, mahkamah sudah membuat perintah larangan bersuara untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini, namun sekiranya terdapat aduan lanjut mengenai perkara ini, pihak pembelaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang relevan.

“Mahkamah sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak terutamanya orang awam, supaya tidak membuat komen subjudis yang menghina mahkamah,” kata hakim itu.

Sementara itu, pihak pendakwaan mengesahkan sudah menyerahkan sebahagian besar dokumen perbicaraan termasuk penyataan yang direkodkan daripada ibu bapa Zayn Rayyan serta gambar-gambar tempat kejadian berkaitan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu. Nurul Qistini memberitahu mahkamah hari ini, laporan forensik dan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masih belum diberikan kepada pasukan pembelaan kerana masih dalam peringkat penyediaan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan baki dokumen itu diserahkan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan. Dr Syahliza kemudian menetapkan 18 September ini untuk penyerahan dokumen.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

Perlu Bantuan?
ms_MYMalay