This post has already been read 8657 times!

Rom: Pihak berkuasa Itali meneruskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran pada Selasa 20 Ogos 2024 selepas kapal layar mewah milik jutawan teknologi Britain, Mike Lynch, tenggelam selepas terkena pukulan ribut di luar pantai Sicily.

Laporan menyebut enam mangsa yang hilang, termasuk Pengerusi Morgan Stanley International Jonathan Bloomer dan isterinya, Judy Bloomer. Lynch, 59, anak perempuannya Hannah yang berusia 18 tahun, dan rakan kongsi firma guaman antarabangsa Clifford Chance, Chris Morvillo juga masih belum dijumpai ketika misi menyelamat memasuki hari kedua, menurut laporan United Press International (UPI).

Kapal layar Bayesian sepanjang 56 meter itu tenggelam dengan 22 orang berada di kapal selepas terkena pukulan ribut pada awal pagi Isnin 19 Ogos 2024.

Jabatan Perlindungan Awam Sicily berkata, isteri Lynch, Angela Bacares; Charlotte Golunski dan suaminya, James dan anak perempuan mereka yang berusia satu tahun, Sophie; Ayla Ronald, seorang peguam New Zealand di Clifford Chance dan pasangannya adalah antara 15 orang yang berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat Bayesian dan kemudian diselamatkan.

Lapan daripada mangsa yang terselamat dibawa ke hospital. Satu mayat ditemukan, seorang lelaki yang dipercayai sebagai cef kapal berkenaan, menurut laporan itu.

Operasi menyelamat melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelam dari Jabatan Bomba Palermo dan pengawal pantai serta tentera laut.

Penyelam berjaya menemukan bangkai kapal yang tersadai di dasar laut pada kedalaman 50 meter di bawah Laut Mediterranean pada malam Isnin, namun gagal menemukan mangsa.

The Telegraph melaporkan bahawa kumpulan itu berada di atas kapal layar Bayesian untuk pelayaran “kemenangan” meraikan pembebasan Lynch setelah pertarungan undang-undang selama 13 tahun yang menyaksikan beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat tahun lepas untuk dibicarakan atas tuduhan penipuan berkaitan penjualan syarikatnya, Autonomy, kepada Hewlett Packard dengan nilai AS$11 bilion.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.