Kuala Lumpur: 22 Ogos 2024 Wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India, di sini dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras di bawah tanah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita berusia 48 tahun terbabit memerlukan perancangan rapi berikutan membabitkan infrastruktur awam.
Menurutnya, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk faktor salur gas di bawah tanah justeru setiap tindakan yang diambil perlulah berstrategi dan dirancang rapi demi keselamatan semua.
“Saya difahamkan ada aliran air yang deras sampai ke hujung sana (jalan) dan kita dah cover (cari) tengok sampai ke hujung tetapi tidak jumpa. “Kita sekarang (SAR) mengadakan perbincangan dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi berkenaan berhubung pelan (infrastruktur) sebab kita tidak boleh buat sesuka hati.
“Saya dimaklumkan jika kita buat penutupan (paip/parit) dikhuatiri mungkin akan berlaku banjir di lokasi,” katanya pada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi kejadian mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan tidak kelihatan sejurus terjatuh ke dalam lubang benam itu.
Rusdi berkata, operasi mencari dan menyelamat SAR pada awalnya memfokuskan di lokasi di mana mangsa terjatuh dan dipercayai wanita itu hanyut berikutan menemui ruangan air di bawah tanah.
Katanya, mangsa bersama beberapa ahli keluarga datang melancong ke Malaysia sejak hampir dua bulan lalu dan bercadang untuk terbang pulang ke India Jumaat 23 Ogos 2024
“Kita sediakan pegawai yang boleh berbahasa India (tamil) dan kita maklumkan (perkembangan) dari masa ke semasa dan kita akan maklumkan kepada pihak kedutaan untuk sambung visa mereka.
“Kita kena sambung sehingga mangsa ditemui jadi mereka (ahli keluarga)perlu berada di sini,” katanya.
Mengulas lanjut Rusdi berkata, sebarang penutupan jalan atau operasi premis bergantung atas saranan agensi terbabit dan individu yang pakar dalam bidang berkenaan.
Katanya, kejadian tanah mendap pernah berlaku berhampiran lokasi kejadian itu bagaimanapun kerosakan sudah dibaiki oleh pihak berwajib.
“Ini kes terpencil dan kita pun tidak pernah berlaku (insiden) seperti ini di kawasan ini atau kawasan lain (di Kuala Lumpur).
“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak kita mampu menemui mangsa kita berdoa supaya mangsa selamat,” katanya. Sementara itu, operasi SAR diteruskan menggunakan jengkaut walaupun keadaan hujan lebat di lokasi setakat jam 5.30 petang.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.