Rata-rata generasi muda sekarang tidak berpeluang melihat kewujudan Penjara Pudu di bandar raya Kuala Lumpur. Pada tahun 2012 Penjara Pudu telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan di kawasan berkenaan. Penjara ini terletak di Jalan Shaw, kini dikenali sebagai Jalan Hang Tuah dan telah dibina oleh pihak British antara tahun 1891 hingga tahun 1895.
Penjara ini mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana dinding luarnya dipenuhi dengan pelbagai lukisan moral yangmembolehkannya diiktiraf sebagai lukisan mural terpanjang dunia satu ketika dahulu.
Apabila menceritakan mengenai kisah Penjara Pudu, apa yang kita biasa dengar, tentulah kisah yang kurang enak. Antara perkara yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu adalah peristiwa rusuhan banduan di penjara ini.
Peristiwa hitam ini terjadi pada tanggal 17 Oktober 1986 dan berakhir enam hari kemudian.
Rusuhan ini telah dimulakan oleh enam orang banduan yang diketuai oleh seorang penjenayah bernama Jimmy Chua yang telah menahan seorang doktor dan pembantunya sebagai tebusan.
Jimmy Chua atau nama sebenarnya Chua Chap Seng 37, merupakan seorang warganegara Singapura dan beliau telah ditempat di Penjara Pudu atas kesalahan membunuh seorang anggota polis pada tahun 1984.
Dia merupakan seorang penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis pada ketika itu. Selain pembunuhan anggota polis tersebut, beliau juga terlibat dengan pelbagai jenayah lain seperti mengetuai kongsi gelap dan kesalahan memiliki senjata api secara tidak sah,
Dia akhirnya berjaya diberkas oleh anggota unit risikan dari ibu pejabat polis kontijen Kuala Lumpur.
Pada pagi 17 Oktober 1986 Dr. Radzi Jaafar iaitu seorang doktor pakar kulit daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan pembantunya juruteknik makmal UKM, Encik Abdul Aziz Abdul Majid bertugas seperti biasa.
Secara tiba-tiba mereka telah diserbu oleh enam orang banduan yang diketuai oleh Jimmy Chua. Kumpulan ini menggunakan kasut tumit tinggi dan beberapa senjata lain yang telah diubah suai.
Lima orang penjenayah lain yang berkomplot dalam peristiwa tebusan ini adalah rakyat Malaysia iaitu : Ng Lai Huat (24), Sin Ah Lau (19), Lam Hock Sung (27), Yap Chee Keong (21) dan Phang Boon Ho (27);
Kesemua mereka ditahan di penjara ini kerana kesalahan di bawah akta Senjata api.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila bekalan elektrik di bilik Perubatan tersebut turut dimatikan dan kesemua penjenayah ini juga mengarahkan beberapa orang banduan, Warden dan pembantu perubatan lain untuk beredar dari klinik tersebut dan mereka hanya menjadikan beberapa orang termasuk Dr.Radzi sebagai tebusan.
Warden yang telah diarahkan keluar daripada klinik tersebut telah bertindak bijak dengan mengunci klinik tersebut daripada luar untuk mengelakkan kesemua penjenayah daripada keluar.
Beliau kemudiannya memanggil pihak pegawai penjara untuk mengepung bilik tersebut dan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.a
Tuntutan mengurangkan hukuman.
Jimmy Chua sedar bahawa dia mungkin dikenakan hukuman gantung sampai mati jika kesalahannya membunuh seorang anggota polis.
Oleh itu, tindakannya menahan beberapa orang sebagai tebusan ini bertujuan agar hukuman ke atasnya dapat dikurangkan.
Penjenayah ini juga menolak sebarang bentuk bantuan makanan yang dihantar kepada mereka kerana mengesyaki ianya mungkin mengandungi bahan-bahan yang mampu melemahkan mereka.
Sementara itu, Datuk Mohamad Zaman Khan,iaitu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah menolak permintaan penjenayah untuk mendapatkan kenderaan dan wang tunai.
Beberapa hari lalu dan keadaan menjadi semakin kritikal, orang ramai mula membanjiri perkarangan penjara ini bagi mengetahui apa yang sebenarnya terjadi,
Malah saudara-mara yang hadir untuk melawat banduan juga tidak dibenarkan masuk bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Unit tindakan khas PDRM (UTK) iaitu Pasukan Polis Anti Pengganas telah diarahkan untuk membuat segala perancangan rapi untuk menamatkan krisis dengan segera .
Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr.Mahathir Mohamad telah meminta Polis tidak menggunakan sebarang jenis senjata api bagi mengelakkan pertumpahan darah.
Setelah 6 hari krisis berlangsung, pasukan UTK ini akhirnya dapat mencari masa yang sesuai untuk bertindak, dengan kekuatan seramai 12 orang anggota, mereka berjaya menyelinap masuk klinik tersebut tanpa disedari oleh Jimmy Chua dan rakan-rakannya.
Kejayaan ini turut dibantu oleh bantuan salah seorang banduan di situ yang melakukan panggilan kepada polis bagi memaklumkan Jimmy Chua dan rakan-rakannya sedang nyenyak tidur.
Banduan tersebut juga telah membantu membuka sebuah pintu pagar dawai di klinik tersebut tanpa disedari oleh penjenayah. Misi genting ini berakhir hanya dalam masa yang singkat hasil kecekapan UTK dan banduan yang memberikan pertolongan. Tiada tembakan dilepaskan dan hanya cota dan rotan digunakan bagi mempertahankan diri dan menahan penjenayah. Tiada kecederaan serius dialami tebusan dan penjenayah, hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.
Jimmy Chua dan lima lagi penjenayah yang bekerjasama dengannya telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan didapati bersalah di bawah akta culik 1961 yang membawa hukuman maksimum mati. Mereka telah dikenakan hukuman gantung sampai mati pada 10 Oktober 1989.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.