This post has already been read 506 times!
YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM BELAS
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, DK., DMN., SSAP., SIMP., DK.(Johor)., SPMJ., PKC., PKT., PJK., DK.(Brunei),
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah, semalam (3 September 2023).
Turut berangkat KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan YAM Paduka-Paduka anakanda Baginda.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R M Jasni.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, Jemaah Menteri Kerajaan Sabah, dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mewakili Premier Sarawak.
Pada majlis tersebut, Gimik pelancaran disempurnakan dengan Seri Paduka Baginda meletakkan tangan di panel tangan hidraulik bagi menandakan perasmian program pengembaraan selama 11 hari dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan kedua-dua negeri itu serta Brunei.
Seri Paduka Baginda berdua juga dipersembahkan pelbagai persembahan kebudayaan dari pelbagai etnik oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat khemah pameran bagi industri kecil dan sederhana yang memaparkan pelbagai produk jualan rakyat di daerah Tawau.
Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan mendendangkan lagu bertajuk “Butakah Cinta” daripada Kumpulan Spring bagi memeriahkan majlis berkenaan sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.
#royal #malaysia #kembarakenaliborneo
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.