Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa abai penjagaan anak

This post has already been read 1347 times!

PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember 2024.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, di sini, antara 5 Disember lalu pada jam 12 tengah hari hingga keesokannya jam 9.55 malam. Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik.

Ia selama apa-apa tempoh dan dengan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh. “Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan,” katanya.

Peguam bela Zaim Ikhwan, Fahmi Abd Moin, memohon jaminan RM5,000 bagi anak guam, namun tiada isu dengan syarat tambahan dicadangkan. “Wang jaminan untuk memastikan kehadiran ke mahkamah. Jumlahnya tidak harus berbentuk hukuman dan jika terlalu tinggi, ia tidak dapat dilunaskan serta tak selari prinsip bersalah hingga dibuktikan sedemikian.

Baca Juga   Bahagian -1- Mengimbau Kes Rogol Liwat dan Bunuh Chee Gaik Yap

“Jumlah jaminan dicadangkan terlalu tinggi, selain anak guam memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. Peguam Ismanira, Mahmud Jumaat, pula memohon jumlah jaminan kurang daripada RM5,000 untuk anak guam dan tidak membantah syarat tambahan.

“Tiada risiko melarikan diri. Kedua-kedua tertuduh mengalami kemurungan melampau, selain memberi kerjasama baik daripada awal siasatan hingga kini. “Saya juga percaya dengan syarat tambahan mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya. Jumlah jaminan tinggi akan seolah-olah menjadi hukuman,” katanya.

Hakim membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan. Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh sudah tamat tempoh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini. Zaim dan Ismanira ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. Reman pasangan itu tamat hari ini. Terdahulu, Fahmi berkata, anak guam dan isterinya boleh didakwa atas pertuduhan selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh kanak-kanak autisme itu.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.