Mekanik didakwa cuba bunuh tunang bekas isteri melakukan ugutan jenayah dan khianat

This post has already been read 915 times!

GEORGE TOWN: 21 Jun 2024 Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki yang dipercayai tunang kepada bekas isterinya.

Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean. Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan dengan niat menyebabkan kematian ke atas Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau lipat berwarna silver berukuran 5 sentimeter.

Kesalahan itu didakwa berlaku di koridor sebuah flat kediaman di Jalan Bukit Gambir dekat sini pada pukul 5.50 pagi, 10 Jun 2024 .

Timbalan Pendakwa Raya Syairah Khalil tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Hafizi, dan bapa kepada dua anak itu tidak diwakili peguam.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka hukuman penjara boleh dikenakan sehingga 20 tahun.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Julai akan datang sebagai tarikh serahan dokumen.

Pertuduhan kedua, Muhammad Hafizi turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab. Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ‘hang buka pintu, aku nak jumpa anak, kalau tak buka, aku bunuh hang’ di flat kediaman yang sama, kira-kira pukul 7 pagi pada 30 Mei 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshini yang mengendalikan kes itu menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Julai 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baca Juga   Hidangan istimewa dipagi raya Ketupat, Lemang, Rendang, dan Nasi impit

Pertuduhan ke-3, Majistret Azlan Basri menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh sabitan kepada Muhammad Hafizi selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin hadapan dan cermin pintu kereta bekas isterinya, Asma Wahab dan telah menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 April lepas kira-kira 10.10 malam di hadapan flat kediaman yang sama di Jalan Bukit Gambir.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syairah Khalil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.